Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abul Razak, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang dan isteri, Toh Puan Seri Khadijah Mohd Noor telah hadir bagi memeriahkan Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Kebangsaan & Retreat KUICK Nasional Amanah Ikhtiar Malaysia bagi tahun 2022.

Majlis makan malam bertemakan Black Tie yang diadakan di Lexis Suite Hotel, Pulau Pinang itu dihadiri 400 undangan terdiri daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah AIM, Pengurusan Kanan, tetamu jemputan serta 44 pemimpin LPS dari 11 Wilayah dan 134 ketua-ketua KUICK yang mewakili cawangan AIM dari seluruh negara.

Turut menjadi tetamu kehormat ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, YB Datuk Shabudin Yahaya yang hadir bersama isteri, Datin Rashidah Haji Abdul Majid.

Tetamu yang hadir pada majlis makan malam ini juga turut menyaksikan penyerahan sumbangan Wakalah Zakat Meroboh & Membina Semula Masjid Lama Sungai Bakap berjumlah RM50,000 daripada Koperasi Kakitangan AIM yang disampaikan oleh Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz kepada Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abul Razak .

Pada majlis makan malam itu juga, disampaikan watikah perlantikan untuk kepimpinan LPS Peringkat Kebangsaan bagi tahun 2022-2023 yang baharu dilantik iaitu, Liley Surioney Abd Manan dari Wilayah Terengganu (Pengerusi); Norhidayatie Mohd Rafae dari Wilayah Perak (Timbalan Ketua); Marharyati Yunita Mohd Yunus, dari Wilayah Pahang (Setiausaha) dan Zam Zarina Samsu, dari Wilayah Kedah yang dilantik selaku Bendahari.

Selain dihiburkan dengan persembahan artis jemputan iaitu Fauziah Latif, Fredo dan Qierra & Acoustic Fourplay, majlis diserikan dengan acara memotong kek oleh Tuan Yang Terutama Tun dan Toh Puan, sebagai simbolik penutupan Mesyuarat Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Kebangsaan & Retreat KUICK Nasional Amanah Ikhtiar Malaysia 2022.

Bagi pihak AIM, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis makan malam ini dan tahniah kepada semua kepimpinan LPS dan KUICK yang telah menamatkan program selama tiga hari di Pulau Pinang ini dengan cemerlang.

#amanahikhtiarmalaysia

#KeluargaMalaysia

#charitywithdignity

#SahabatUsahawanAIM

#afeksi22