Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

Dua Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Puan Kamariah Md Yatim, dari Cawangan Barat Laut Selangor yang mengusahakan tanaman pandan dan perniagaan pakaian bundle, dan Sharifah Nurul Shahidah Syed Abdul Rahman, yang menjalankan perniagaan Pekasam Shazam Viral dan Katering, dari Taiping, Perak dinobat sebagai Usahawan Cemerlang AIM dan penerima Anugerah Usahawan Asnaf 2022 Majlis Anugerah Kecemerlangan Usahawan (AKU) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Puan Kamariah yang dipilih sebagai Usahawan Cemerlang AIM sememangnya tidak menyangka akan terpilih sebagai penerima anugerah yang sangat bermakna itu.

Katanya, anugerah berkenaan akan dijadikan sebagai penguat semangat untuk beliau terus berjaya dan tidak sesekali berputus asa.

Projek tanaman pandan wangi Puan Kamariah digunakan secara pukal oleh sebuah kilang roti terkemuka negara yang menghasilkan kaya pandan dan juga roti pandan.

Manakala Puan Sharifah Nurul Shahidah yang menjalankan perniagaan Pekasam Viral dan juga katering berkata, beliau akan terus bekerja keras dan memastikan akan menjadi usahawan yang lebih berjaya pada masa akan datang.

Beliau yang dahulunya seorang gelandangan hari ini boleh berbangga dengan perniagaan yang semakin maju dan pendapatan mencecah ratusan ribu ringgit.

Hari ini Sharifah bukan lagi penerima zakat, sebaliknya beliau kini adalah pemberi zakat.

Kedua-dua Sahabat menerima wang tunai sebanyak RM10,000, trofi dan sijil.

Anugerah disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan diiringi oleh Menteri KUSKOP, YB Tan Sri Noh Haji Omar.

Hadir sama pada majlis yang diadakan di Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur itu ialah Pengerusi Lembaga AIM, YB Datuk Shabudin Yahaya dan Ketua Pegawai Operasi dan Perundangan AIM, Encik Jani Izwandy Che Jan.

AIM mengucapkan syabas dan tahniah kepada Puan Kamariah dan Puan Sharifah. Semoga kemenangan ini memberi inspirasi kepada Sahabat Usahawan AIM yang lain.