Kota Bharu - Seramai 730 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi Wilayah Kelantan hari ini, menerima Geran Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) bernilai RM3,000 setiap seorang.
Turut mendapat geran berkenaan ialah seramai 947 usahawan daripada Tekun Nasional. Ini menjadikan jumlah keseluruhan BBKM bagi usahawan formal dan informal berkenaan ialah sebanyak RM5.031 juta.
Geran BBKM ini diserahkan kepada penerima oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh Haji Omar, dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di Hotel Grand Riverview, Kota Bahru Kelantan.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin dan Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Tekun Nasional, Dato’ Adam Abdul Ghani serta pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua agensi.
Geran bantuan banjir yang disalurkan ini merupakan sebahagian daripada peruntukan sebanyak RM50 juta kerajaan kepada usahawan mikro yang perniagaan mereka terjejas akibat banjir besar yang melanda negara pada bulan Disember tahun lalu, dan banjir kali kedua yang melanda tiga negeri di pantai timur iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu pada Februari lalu.
Untuk rekod, kesemua penerima BBKM daripada Sahabat Usahawan AIM ini, sebahagian besarnya merupakan usahawan informal yang berniaga di gerai dan penjaja di tepi jalan yang mengalami kemusnahan secara total di mana gerai dan premis perniagaan hanyut dibawa banjir.
Ia membabitkan Sahabat Usahawan dari Cawangan Gua Musang, Tanah Merah, Pasir Puteh, Pasir Mas, Kuala Krai, Jeli, Machang, Tumpat, Ketereh, Dabong dan Kota Bahru.
Selain Negeri Kelantan, majlis penyerahan Geran BBKM ini juga telah diadakan di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah. Turut akan diadakan ialah di Terengganu dan Melaka.
#amanahikhtiarmalaysia
#KeluargaMalaysia
#charitywithdignity
#sahabatAIM
#afeksi22