SRI DAMANSARA - Lebih 1,500 tetamu hadir ke majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOP SAHABAT), yang diadakan di perkarangan Menara AIM, di Bandar Sri Damansara hari ini.
Majlis yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), YB Tan Sri Noh Haji Omar itu juga turut dihadiri ketua-ketua agensi dari pelbagai agensi di bawah KUSKOP.
Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran 40 anak-anak yatim daripada Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Selangor yang dirai dengan pemberian duit raya dan juga sumbangan khas kepada rumah berkenaan sebanyak RM10,000.
Selain Noh, turut hadir pada majlis yang bermula sejak jam 11 pagi dan berakhir pada jam 4 petang itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pemantauan KUSKOP) Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak, Pengerusi Lembaga AIM, YB Datuk Shabuddin Yahaya, Pengerusi Panel Syariah AIM yang juga Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, Timbalan Pengerusi Lembaga AIM, Najib Mohd Noor yang juga merupakan Pengerusi Koop Sahabat, Pengarah Urusan AIM, Shamir Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Koop Sahabat, Mazri Mahmood, ahli-ahli lembaga AIM dan Koop Sahabat, semua pengurusan kanan AIM, tetamu dari pelbagai latar belakang serta artis jemputan iaitu Rosyam Nor dan Bella Astillah.
Shamir yang ditemui media berkata, tahun ini AIM mengadakan sambutan hari raya selepas dua tahun kita terpaksa menjalani perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ketat.
“Alhamdulillah, lebih 1,500 tetamu dari pelbagai latar belakang, rakan-rakan serta kenalan AIM dari pelbagai agensi, perbankan, syarikat korporat dan sebagainya, hadir untuk bersama-sama meraikan sambutan yang saya kira sangat meriah kali ini.
“Walaupun tidak ada lagi SOP yang ketat namun kita masih akur dengan nasihat dan saranan daripada pihak kerajaan demi memastikan perjalanan majlis dan tetamu yang hadir juga berasa selesa dan dapat menikmati juadah raya yang disajikan dengan gembira,” katanya.
#amanahikhtiarmalaysia
#KeluargaMalaysia
#charitywithdignity
#sahabatAIM
#afeksi22