Tasek Gelugor – Tuan Yang Terutama, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang hari ini berkenan hadir menyempurnakan Program ‘Kembali Ke Sekolah’ untuk anak-anak Sahabat AIM bagi Cawangan Tasek Gelugor dan Bukit Mertajam.
Program yang diadakan di Pusat Konvensyen Perda, di Tasek Gelugor ini turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga AIM, YB Datuk Haji Shabudin Yahaya; Timbalan Pengerusi AIM, En Mohd Najib Mohd Noor; Pengarah Urusan AIM, En Mohamed Shamir Abdul Aziz; pemimpin-pemimpin tempatan dan barisan pengurusan kanan AIM.
1,000 penerima sumbangan yang merupakan anak-anak Sahabat Usahawan AIM yang masih bersekolah rendah ini menerima kelengkapan pakaian persekolahan, alat tulis, beg, dan kasut sekolah.
Shamir dalam ucapannya antara lain berkata, ‘Program Kembali Ke Sekolah’ ini merupakan sebahagian daripada usaha dilakukan AIM untuk meringankan beban Sahabat-Sahabat Usahawannya yang terkesan dengan keadaan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan pendapatan mereka.
Selain itu, pemberian kelengkapan persekolahan ini juga diharap dapat menceriakan dan memberi semangat untuk anak-anak Sahabat Usahawan AIM melangkah semula ke alam persekolahan setelah lama menjalani pembelajaran di rumah sepanjang tahun lalu.
Ia juga diharap dapat mengeratkan hubungan pihak pengurusan AIM dan Sahabat Usahawan yang dilihat mula bangkit untuk menjalankan aktiviti ekonomi selain kembali menjalani kehidupan yang normal.