Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

YAN – Kehadiran Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Yan, Kedah bagi meninjau kesan banjir besar dan bantuan-bantuan yang wajar diberikan, sedikit sebanyak telah menyuntik semangat buat mereka yang terkesan untuk bangkit semula dari kemusnahan yang begitu dahsyat.

Kemusnahan yang melibatkan kediaman, harta benda dan wang ringgit ini turut melibatkan seramai 131 Sahabat AIM dari tujuh blok, iaitu Blok Tanjung Dawai, Merbok, Jerai, Bedong, Semeling, Sungai Limau dan Amanjaya.

Selain Perdana Menteri yang melakukan lawatan kerjanya di Yan dan Merbok hari ini, turut mengambil berat nasib yang menimpa Sahabat AIM ialah Menteri Besar Kedah YAB Tuan Haji Muhammad Sanusi Md Nor.

Pada hari yang sama juga barisan kepimpinan AIM yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi, Shamir Aziz dan Ahli Lembaga, Dato’ Mohd Farid Mohamad Ali juga turut turun padang menyampaikan 200 sumbangan Bakul Kasih kepada Sahabat yang terlibat.

Turut mengiringi ialah Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal Mashahrin, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Kesejahteraan, Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin, Pengarah Bahagian Keusahawanan, Effendi Omar dan Pengurus Kanan Wilayah Kedah Selatan, Puan Nor Hayati Hussin.

Bantuan Bakul Kasih yang mengandungi makanan asas seperti beras, tepung, gula, minyak masak, susu, bihun dan sardin dalam tin itu diharap dapat sedikit sebanyak meringan beban yang ditanggung Sahabat pada waktu ini.

Selain kerosakan harta benda, kediaman Sahabat juga dipenuhi dengan lumpur tebal yang turut dibawa oleh arus deras semasa banjir berlaku. Tugas-tugas pembersihan telah dan sedang giat dilakukan oleh puluhan sukarelawan yang digerakkan ke kawasan berkenaan dengan mengikut SOP ditetapkan.

Untuk rekod, Sahabat AIM bagi daerah Yan adalah berjumlah 3,162 orang dan kebanyakkan daripada mereka menjalankan perniagan kecil-kecilan dengan menjual makanan, berniaga kedai runcit, petani dan ada juga yang menjadi nelayan.

#amanahikhtiarmalaysia

#charitywithdignity

#sahabatAIM

#afeksi2021