KUALA LUMPUR, 13 Jun – Ketua Pegawai Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Puan Noor Aeiza Hassan telah menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) Kali Ke-28 Koperasi Kakitangan Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KKAIMB), yang menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus serta merancang hala tuju strategik koperasi demi manfaat seluruh anggotanya.
Dalam ucapan perasmiannya, Puan Noor Aeiza merakamkan penghargaan kepada seluruh warga KKAIMB atas komitmen berterusan dalam memacu kecemerlangan koperasi. Beliau turut memaklumkan bahawa KKAIMB merekodkan pendapatan sebanyak RM27.82 juta dengan untung bersih mencecah RM9.09 juta bagi tahun kewangan 2025, manakala jumlah aset koperasi kini menghampiri RM200 juta.
Beliau turut menyifatkan penerokaan bidang baharu menerusi perniagaan Ikhtiar Ar-Rahnu, selain penekanan terhadap pembangunan modal insan dan transformasi digital sebagai langkah strategik bagi memastikan KKAIMB terus relevan, berdaya tahan dan kekal kompetitif.
Turut hadir ialah wakil Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Encik Mohammad Kamarulzaman Mohammad Annuar Musa’dad dan Puan Norul Nidiah Harun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KOOP SAHABAT, Tuan Haji Mazri Mahmood serta Ketua Pegawai Eksekutif AIMSB, Encik Hamdan Samsi.
MAPT Kali Ke-28 turut menjadi medan penting bagi para perwakilan membincangkan pelbagai agenda berkaitan tadbir urus, kewangan dan perancangan strategik ke arah memastikan KKAIMB terus berkembang sebagai sebuah koperasi yang progresif, mampan dan dihormati.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#KKAIMB #MAPT28
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMADANI