ARAU, 16 Jun – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada YBhg. Datuk Seri (Dr) Syed Hussian bin Syed Junid, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, atas penganugerahan Anugerah Tokoh Usahawan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) yang disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Anugerah berprestij tersebut disampaikan bersempena Majlis Jamuan Teh Kasih Rakyat Menjunjung Daulat sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Raja Perlis yang berlangsung di Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Islamiah (MADI), Arau.
Pengiktirafan ini diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan dan kepimpinan beliau yang cemerlang dalam pembangunan ekonomi negara, transformasi industri serta komitmen berterusan memperkasa pembangunan sosioekonomi dan keusahawanan di Malaysia.
Selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, YBhg. Datuk Seri (Dr) Syed Hussian memainkan peranan penting dalam memperkukuh hala tuju organisasi bagi memperkasa golongan berpendapatan rendah melalui pembiayaan mikro, sekali gus membantu melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing, berdaya tahan dan mampu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.
Sekalung tahniah daripada seluruh barisan Lembaga Pemegang Amanah serta warga Amanah Ikhtiar Malaysia.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#SKIMPADURIMADANI
#NoOneLeftBehind
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMADANI