Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

TAMBUN, 16 Mei 2026 — Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Skim PADURI MADANI di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia yang memperuntukkan dana berjumlah RM230 juta bagi melahirkan 29,000 usahawan wanita baharu dalam kalangan B40.

Majlis peluncuran yang berlangsung di Dewan Serbaguna Bandar Baru Tambun, Perak itu turut dihadiri Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Haji Saarani Mohamad; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, YBhg. Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Syed Junid; Ketua Pegawai Eksekutif AIM, YBrs. Puan Noor Aeiza Hassan bersama barisan pengurusan tertinggi AIM dan lebih 1,000 Sahabat Usahawan AIM.

Skim yang diwujudkan hasil pengumuman YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2026 ini terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas dengan pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM5,880 atau pendapatan per kapita tidak melebihi RM1,470.

Selaras matlamat AIM dalam membantu masyarakat keluar daripada belenggu kemiskinan, skim ini turut memberi peluang kepada golongan yang disenarai hitam atau diisytiharkan muflis untuk memulakan kehidupan baharu tanpa memerlukan penjamin atau cagaran.

Skim PADURI MADANI juga bersifat inklusif dengan menyasarkan wanita Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Orang Asli, komuniti Siam serta wanita B40 di bandar dan luar bandar.

Dalam majlis sama, YAB Perdana Menteri turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian AIM hasil penubuhan institusi yang diasaskan oleh beliau 39 tahun lalu.

Sepanjang 39 tahun penubuhan, AIM telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM39.1 bilion kepada lebih 1.18 juta peminjam dan memberi manfaat kepada 4.39 juta isi rumah di seluruh negara.

#SkimPaduriMadani

#NoOneLeftBehind

#AmanahIkhtiarMalaysia

#SahabatUsahawanAIM

#MalaysiaMADANI