SINGAPURA, 28 April 2026 – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) terus mencipta kejayaan di pentas global apabila dinobatkan sebagai penerima dua anugerah berprestij pada 11th Global Good Governance (3G) Awards 2026, anjuran Cambridge Global Good Governance Programme.
Anugerah ini disampaikan oleh Pengerusi Cambridge Global Good Governance Programme, Professor Humayon Dar, kepada Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Noor Aeiza Hassan, dan Ketua Pegawai Operasi AIM, Tuan Haji Jani Izwandy Che Jan, yang mewakili seluruh warga kerja serta Sahabat Usahawan AIM.
Dua anugerah berkenaan ialah 3G Best Microfinance Institution Award 2026 dan 3G Championship Award In Women Empowerment 2026.
Pencapaian kali ke-7 AIM di pentas dunia ini membuktikan peranan dan komitmen AIM dalam memastikan golongan wanita terus diperkasa berjaya mencapai matlamat dan objektifnya.
Kemenangan dua anugerah ini juga telah mengukuhkan kedudukan AIM sebagai institusi mikrokredit yang unggul di peringkat dunia.
Majlis berprestij yang diadakan di Singapura ini turut menghimpunkan lebih 300 delegasi berprofil tinggi dari lebih 15 negara merangkumi sektor kerajaan, sektor korporat dan institusi kewangan.
Puan Noor Aeiza dalam ucapannya ketika menerima anugerah berkenaan berkata, anugerah yang diraih ini adalah untuk semua warga kerja dan Sahabat-Sahabat Usahawan AIM, dan ia adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna.
Selaku penyedia kewangan mikro di negara ini, AIM juga amat berterima kasih kepada Kerajaan MADANI di bawah pimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa memberi sokongan dan menjadikan AIM antara institusi yang dekat di hati beliau.
AIM akan terus berkhidmat kepada golongan wanita dan akan memastikan kelestarian yang dipupuk ini dapat mengangkat kumpulan sasar selari dengan dasar dan prinsip Malaysia MADANI.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMadani