Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

ARAU, PERLIS, 17 April 2026 –

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan menerima penyerahan zakat perniagaan berjumlah RM800,000 daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam Majlis Hijrah Minda bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berlangsung di Masjid Muhammadi Sungai Adam, Jejawi.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Yang Berbahagia Datuk Seri (Dr.) Syed Hussian bin Syed Junid sebagai simbol komitmen berterusan AIM dalam memperkasa ekonomi ummah serta membantu golongan yang memerlukan.

Seusai majlis penyerahan, Pengerusi Lembaga AIM bersama Pengerusi Lembaga Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (Koop Sahabat), Encik Mohd Najib bin Haji Mohd Noor; Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Puan Noor Aeiza binti Hassan; Ketua Pegawai Operasi, Tuan Haji Jani Izwandy bin Che Jan; Ketua Pegawai Kewangan, Encik Norsharizal bin Mashahrin; serta Ketua Pegawai Maklumat, Encik Mohamad Zulkahizam bin Mohamad Zuldin telah diundang menghadiri jamuan santapan bersama DYMM Tuanku Raja Perlis dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah binti Almarhum Tengku Abdul Rashid di Wad Diraja, Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis dalam suasana harmoni dan penuh mesra.

Kesudian serta kemurahan hati DYMM Tuanku berdua, serta DYTM Tuanku Raja Muda Perlis dalam meraikan delegasi AIM amat menyentuh hati. Jelas terpancar keprihatinan baginda dalam memastikan setiap tetamu diraikan dengan sebaiknya, seolah-olah tidak membiarkan tetamu pulang tanpa dijamu.

Lebih mengharukan apabila DYMM Tuanku berdua sendiri berkenan mencemar duli menghidangkan pelbagai juadah masakan dari Istana Perlis kepada para tetamu. Suasana santai yang terjalin begitu akrab serta penuh penghargaan antara pihak istana dan pengurusan AIM ini menjadi momen yang amat manis dan bermakna kepada seluruh warga AIM.

Pada sesi tersebut juga, Pengerusi Lembaga AIM telah mempersembahkan sembah taklimat mengenai pengurusan dan perjalanan operasi AIM, termasuk kisah kejayaan Sahabat Usahawan AIM serta pencapaian organisasi kepada DYMM Tuanku berdua.

Di penghujung pertemuan, DYMM Tuanku berdua berkenan menyampaikan cenderahati kepada semua delegasi AIM sebagai tanda penghargaan, sekali gus menzahirkan keprihatinan serta hubungan erat antara institusi diraja dan AIM.

Seluruh warga AIM dengan penuh takzim merafak sembah menjunjung kasih kepada DYMM Tuanku berdua.