SME BANK – AIM Jalin Kerjasama Bantu Sahabat
Kuala Lumpur, 7 April 2021 – SME Bank hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), sebagai langkah permulaan pelaksanaan Skim Pembiayaan Lestari Bumi.
Menerusi MOU berkenaan, SME Bank akan bekerjasama dengan AIM yang mempunyai peranan penting dalam membantu usahawan mikro dan kecil bagi menyokong agenda kerajaan dalam membina ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif terutamanya pasca COVID-19.
Ia juga akan membolehkan SME Bank dan AIM mengenal pasti bantuan dalam bentuk pembiayaan dan latihan keusahawanan untuk kumpulan sasar agar setiap kategori usahawan tidak ketinggalan dalam menerima bantuan yang secukupnya.
Selain itu, perkongsian maklumat dan idea juga akan dilakukan dalam merangka inisiatif pembangunan PKS agar lebih sistematik.
Hadir menandatangani MOU berkenaan ialah Mohamed Shamir Abdul Aziz, Ketua Pegawai Operasi AIM yang mewakili AIM, dengan disertai wakil dua agensi kerajaan lain iaitu Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail, Presiden Kumpulan / Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Economic Development Corporation (SEDC), Hajah Rakayah Hamdan, Timbalan Pengurus Besar SEDC, YBhg. Dato' Adam Abd Ghani, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif mewakili TEKUN Nasional yang turut menandatangani MOU yang sama.
Majlis MOU disaksikan oleh YB. Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati Hj Samsudin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan YBhg. Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin, Pengerusi Eksekutif, AIM.
Terdahulu, YB Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati telah melancarkan Skim Pembiayaan Lestari Bumi khusus untuk membantu membangunkan usahawan mikro dan kecil melalui peruntukan pembiayaan sebanyak RM300 juta untuk membolehkan mereka meningkatkan kapasiti pengeluaran, meluaskan akses pasaran dan menjadikan perniagaan mereka lebih mampan dan berdaya saing.
Pembiayaan Lestari Bumi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan sewaktu pembentangan Belanjawan 2021. Melalui skim ini, usahawan boleh memohon pembiayaan bagi modal kerja dan pembelian aset dengan jumlah pembiayaan bermula dari RM100,000 hingga RM750,000. Ini semestinya akan membolehkan usahawan-usahawan mikro dan kecil ini meningkatkan perniagaan mereka kepada tahap yang lebih tinggi.
#amanahikhtiarmalaysia
#sahabatAIM
#charitywithdignity
#afeksi2021