Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

SUNGAI BULOH, 17 Januari 2025 - Seramai 1,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di Parlimen Sungai Buloh menerima bantuan persekolahan menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Kembali Ke Sekolah yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, seramai 750 pelajar menerima bantuan tunai sebanyak RM150 seorang, manakala 250 anak-anak Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima sumbangan daripada Yayasan Pendidikan Malaysia, merangkumi kelengkapan persekolahan set baju sekolah, kasut, beg, alat tulis dan keperluan asas lain.

Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, bersama Pengarah Urusan AIM, YBhg Dato’ Mohamed Shamir Abdul Aziz dan Timbalan Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat YBrs. Puan Sabariah Musa. Turut hadir bersama barisan pengurusan tertinggi AIM serta pemimpin komuniti Parlimen Sungai Buloh.

Majlis yang bermula jam 9.30 pagi itu telah dihadiri kira-kira 2,000 orang termasuk ibu bapa dan penjaga penerima bantuan. Inisiatif ini bertujuan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan serta memberi fleksibiliti kepada ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan AIM dalam menyokong agenda pendidikan sebagai teras penting pembangunan insan dan usaha memutuskan rantaian kemiskinan dalam komuniti bandar.

#KembaliKeSekolah

#ParlimenSungaiBuloh

#AmanahIkhtiarMalaysia
#SahabatUsahawanAIM

#MalaysiaMadani