KUALA LUMPUR, 12 Januari 2026 – Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Dato’ Shamir Aziz telah menyempurnakan Majlis Pelancaran COMPASS 26 bersempena AIM Scholarship and Sponsorship Ceremony yang berlangsung di Kulliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM), hari ini.
Dalam ucapan perasmian, Dato’ Shamir menegaskan bahawa pendidikan merupakan instrumen paling berkuasa dalam membentuk mobiliti sosial, memperkasa ekonomi dan menyumbang kepada pembangunan negara secara mampan.
Menurut beliau, komitmen AIM bukan sekadar tertumpu kepada pembiayaan mikro dan keusahawanan, malah merangkumi pelaburan jangka panjang dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan.
Dato’ Shamir turut berkongsi kebanggaan beliau sebagai alumni IIUM, sekali gus mencerminkan semangat 'giving back' AIM kepada institusi pengajian tinggi melalui penajaan, biasiswa, geran penyelidikan dan sokongan terhadap aktiviti akademik serta pembangunan pelajar.
Pada majlis tersebut, AIM turut mengumumkan pemberian biasiswa kepada pelajar pascasiswazah cemerlang serta penajaan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Wilayah, dengan harapan sokongan ini dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh kecemerlangan akademik, kepimpinan dan tanggungjawab sosial.
Majlis diteruskan dengan perasmian Pameran COMPASS 26, sebuah pameran akademik yang menampilkan hasil kerja pelajar tahun akhir Perancangan Bandar dan Wilayah, yang menjadi platform perkongsian ilmu antara akademia, industri dan komuniti.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMadani
#IIUM #AIM