PULAU PINANG, 13 Januari 2026 - Seramai lebih 50 usahawan wanita sekitar George Town hadir mendengar taklimat mengenai Skim Paduri Madani Amanah Ikhtiar Malaysia yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Yang Amat Berhormat Tuan Chow Kon Yeow pada bulan lalu.
Taklimat yang dianjurkan oleh Central Muslim Society (CMS) Pulau Pinang itu memberi pendedahan dan penerangan lebih mendalam mengenai skim berkenaan yang memfokuskan kepada skim pembiayaan kepada usahawan mikro di seluruh negara.
Taklimat disampaikan oleh perunding yang juga merupakan pengasas AIM, Professor Dato' Sukor Kasim.
Turut diadakan sesi soal jawab yang berupaya menjelaskan pelbagai soalan dan berjaya memberi pemahaman kepada yang hadir.
Majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Urusan AIM, Ybhg Dato' Shamir Aziz. Hadir sama ialah Presiden CMS, Tuan Haji Mohamed Hasan, Setiausaha Kehormat CMS, Prof. Madya Dr. Sheik Abdullah Hassan Mydin dan Ketua Wanita CMS, Puan Zafrina Ismail.
Paduri Madani merupakan skim baharu AIM yang bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang tabah, berani, berwibawa dan berdaya tahan.
#amanahikhtiarmalaysia
#padurimadani
#usahawanwanita
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMadani