Lahad Datu, 14 November 2025 – Nurul Izzah Anwar bersama Datuk Azman Abidin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, hari ini turun padang bersama Sahabat Usahawan AIM Cawangan Lahad Datu dalam sesi gotong-royong memasak daging rendang dan sup sebagai pembuka tirai Majlis Aspirasi Madani Sahabat Usahawan AIM Lahad Datu yang berlangsung di Dewan Tun Haji Mustapha.
Ketibaan Nurul Izzah dan Datuk Azman disambut oleh Pengarah Urusan AIM, Dato’ Shamir Aziz, bersama barisan pengurusan kanan AIM, dan pasukan gotong royong memasak yang terdiri daripada ahli kelab Sahabat Usahawan AIM Lahad Datu.
Selain aktiviti memasak, Nurul Izzah turut meluangkan masa melakukan walkabout untuk melihat sendiri hasil jualan produk usahawan serta beramah mesra dengan Sahabat-Sahabat AIM yang mempamerkan pelbagai produk kreatif keluaran tempatan.
Dato’ Shamir Aziz menzahirkan penghargaan kepada seluruh Sahabat Usahawan AIM Sabah atas komitmen terhadap disiplin kredit dan kejayaan mereka mengembangkan perniagaan masing-masing.
Sementara itu, Datuk Azman menegaskan bahawa Amanah Ikhtiar Malaysia merupakan antara usaha dan inisiatif penting YAB Perdana Menteri dalam memperkasa usahawan mikro, terutama golongan wanita dan isi rumah berpendapatan rendah. Beliau menekankan komitmen kerajaan untuk terus memastikan pelbagai skim pembiayaan dan sokongan diteruskan demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
Nurul Izzah dalam ucapannya turut memberi penekanan mengenai nilai integriti, amanah dan etika dalam urus niaga sebagai asas kejayaan jangka panjang usahawan Sahabat AIM.
Majlis Aspirasi Madani ini turut diserikan dengan penyampaian anugerah Sahabat Cemerlang, persembahan kebudayaan serta sesi cabutan bertuah.
Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Aspirasi Madani Sahabat Usahawan AIM Cawangan Lahad Datu pada hari ini.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#SahabatUsahawanAIM
#LahadDatu
#Sabah
#MalaysiaMadani