WARGA KERJA AIM DIMINTA BEKERJA SEBAGAI SATU PASUKAN
KHAMIS, 11 Mac - Warga kerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diminta untuk bekerja lebih erat sebagai satu pasukan yang kuat bagi melakukan transformasi di dalam menjayakan agenda AIM untuk membantu golongan B40.
Pesanan itu disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif AIM, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin pada perhimpunan bulanan bersama pihak pengurusan AIM, di ibu pejabat AIM di Menara Amanah, Bandar Sri Damansara.
Beliau dalam ucapannya berkata, tahun 2021 merupakan tahun yang mencabar bagi semua tetapi dengan kesepakatan yang ditunjukkan warga kerja pasti akan membuahkan kejayaan bagi organisasi berkenaan untuk berjaya dalam mengharungi ujian ini.
Beliau juga turut memberi semangat supaya setiap warga kerja AIM terus kuat dan menanam iltizam yang jitu untuk membantu Sahabat AIM yang terkesan akibat pandemik Covid -19 dan kini ingin bangkit semula menjalankan perniagaan masing-masing.
“Sahabat perlu dibantu, dipantau dan berikan dorongan agar mereka terus bangkit mengorak langkah dan berjaya,” katanya.
Beliau juga mengingatkan wargakerja yang beragama Islam supaya mengambil ikhtibar dalam peristiwa Israk dan Mikraj dalam memastikan keberkatan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan agar kita semua memperoleh kejayaan di dunia dan akhirat.
“Saya juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada warga kerja AIM atas sokongan yang diberikan kepada saya dalam menjalankan tugas selaku Pengerusi Eksekutif AIM.
“Terima Kasih di atas sokongan anda. Saya berlapang dada menerima pandangan, cadangan dan nasihat dari yang lain. Dengan adanya perbincangan, kita dapat menyelesaikan masalah dengan mudah dan cepat,” Katanya.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Operasi AIM, Shamir Aziz, Ketua Pegawai Perundangan AIM, Jani Izwandy Che Jan, Ketua Pegawai Kewangan, Norsharizal Mashahrin, Pengarah-Pengarah Bahagian dan pengurusan kanan AIM selain turut disertai oleh pengurus-pengurus wilayah dari seluruh negara secara dalam talian.
#amanahikhtiarmalaysia
#charitywithdignity
#sahabataim
#afeksi2021