Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

Sandakan – Nurul Izzah Anwar hari ini meluangkan masa bersama Sahabat Usahawan AIM Cawangan Sandakan memasak dua periuk besar sup daging lembu untuk dijamu kepada lebih 500 Sahabat Usahawan dari Blok Karamunting dan Gum-Gum.

Selain gotong-royong memasak, beliau turut melakukan walkabout melihat dan beramah mesra dengan 30 Sahabat Usahawan yang mempamer serta menjual produk keluaran masing-masing.

Terdahulu, ketibaan Nurul Izzah disambut oleh Pengarah Urusan AIM, YBhg. Dato’ Shamir Aziz. Turut hadir, Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin; Timbalan Pengarah Urusan (Operasi) AIM, Tuan Haji Jani Izwandy Che Jan; Timbalan Pengarah Urusan (Keusahawanan dan Korporat) AIM, Encik Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin; serta barisan pengurusan kanan dan kakitangan AIM Sabah yang menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran program ini.

Dato’ Shamir dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga atas kejayaan AIM Sabah mencapai 0% Portfolio At Risk (PAR) serta memaklumkan bahawa Skim Baharu PADURI MADANI akan diperkenalkan tidak lama lagi. Skim ini berinspirasikan semangat wanita Tabah, Berwibawa dan Berdaya Tahan dengan sasaran melahirkan lebih 28 ribu usahawan wanita baharu.

Sementara itu, Nurul Izzah dalam ucapannya menekankan betapa pentingnya urus niaga yang jujur dan amanah serta mengakui kejayaan AIM adalah disebabkan kemampuan Sahabat-Sahabat Usahawan yang memiliki disiplin kredit yang tinggi.

Majlis Aspirasi Madani yang disambut meriah ini turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada Sahabat cemerlang merangkumi Anugerah Sahabat Setia, Anugerah Sahabat Berjaya, Anugerah OE Pusat Tertinggi dan Anugerah CMCCS Pusat Tertinggi, selain penyerahan cek cura pembiayaan berjumlah RM15.5 juta bagi Cawangan Sandakan termasuk RM800,772 bagi Blok Gum-Gum dan RM1.8 juta bagi Blok Karamunting.

Di akhir acara, turut diadakan kejutan sambutan ulang tahun awal buat Nurul Izzah yang jatuh pada 19 November ini.

Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang menjayakan Majlis Aspirasi Madani Sahabat Usahawan AIM Cawangan Sandakan pada 2 November ini.

#AmanahIkhtiarMalaysia

#SahabatUsahawanAIM

#AspirasiMadani

#AIMSabah

#PADURIMadani

#MalaysiaMadani

#UsahawanWanita