Kota Kinabalu, 23 Oktober 2025 – Semangat keusahawanan terus menyala di Sabah apabila Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, meluangkan masa bersama 330 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada Majlis Aspirasi Madani Sahabat Usahawan AIM Api-Api yang diadakan di Kota Kinabalu.
Program berinspirasikan semangat Malaysia MADANI ini menjadi wadah menghargai ketabahan para Sahabat yang berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti bandar dan sekitar Api-Api.
Hadir sama, Pengarah Urusan AIM, Dato’ Mohamed Shamir Abdul Aziz, Setiausaha Sulit Kanan kepada YB Timbalan Menteri, Datuk Anbumani Balan, serta barisan Timbalan Pengarah Urusan AIM, Encik Norshahrizal Mashahrin (Kewangan), Tn. Hj. Jani Che Jan (Operasi) dan Encik Mohamad Zulkahizam Mohamad Zuldin (Keusahawanan & Korporat) bersama pengurusan kanan serta warga kerja Wilayah Sabah.
Bagi blok Api-Api, AIM telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM2.03 juta bagi tahun 2025, dengan RM1.82 juta telah diluluskan kepada 407 Sahabat aktif sehingga September.
Pada majlis berkenaan, YB Ramanan turut ke booth-booth produk Sahabat AIM, beramah mesra serta mendengar kisah kejayaan para usahawan yang membuktikan keberkesanan program bimbingan AIM dalam melahirkan usahawan berdikari dan berdaya tahan.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Sahabat Setia, Anugerah Sahabat Berjaya, Anugerah OE Pusat Tertinggi dan Anugerah CMCCS Pusat Tertinggi, selain penyerahan cek cura pembiayaan bernilai RM3.7 juta kepada Sahabat Api-Api sebagai dorongan untuk terus maju.
Sebagai tanda penghargaan dan semangat kebersamaan, para Sahabat turut meraikan YB Ramanan dengan kek istimewa sempena sambutan perayaan Deepavali, mencerminkan nilai perpaduan dan keakraban yang menjadi asas kepada hubungan antara AIM, pemimpin dan komuniti usahawan pelbagai kaum di Sabah.
Dalam ucapannya, Dato’ Shamir menzahirkan rasa bangga terhadap kejayaan AIM Sabah yang mengekalkan kadar PAR sifar peratus (0%), manakala YB Ramanan pula menegaskan peranan AIM sebagai rakan strategik utama kerajaan dalam memperkasa ekonomi rakyat secara inklusif dan mampan melalui pendekatan Malaysia MADANI.
#SahabatUsahawan
#AmanahIkhtiarMalaysia
#AIM
#WanitaHebat
#UsahawanWanita
#microfinance
#awardwinning
#WomenEmpowerment