Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

KOTA BELUD - Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick hadir ke Mini Karnival Sahabat Usahawan AIM Kota Belud 2025, bagi menyantuni hampir 500 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Cawangan Kota Belud. Kehadiran YB Datuk Ewon yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Kedamaian, disambut oleh Pengarah Urusan AIM, YBhg. Dato' Shamir Aziz. Mini Karnival Sahabat Usahawan AIM Cawangan Kota Belud diadakan sempena Pembukaan Rasmi Tamu Desa Pongindopuan, Kg Rengalau, yang merupakan salah satu pasar tamu di Kg Rangalau yang dibina atas inisiatif YB Datuk Ewon, bagi membolehkan usahawan-usahawan kecil seperti Sahabat Usahawan AIM memasar dan menjual produk perniagaan mereka untuk pasaran tempatan.

Selain perasmian tamu desa, turut diadakan ialah penyampaian cek cura pembiayaan AIM kepada Cawangan Kota Belud yang berjumlah RM15.57 juta dan penyampaian Anugerah Sahabat Setia, Sahabat Usahawan Berjaya, Anugerah CMCCS Terbaik, Anugerah Pusat Tertinggi OE dan Anugerah Sahabat Usahawan Muda dan Berjaya. Karnival juga dimeriahkan dengan Jualan Madani dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang membolehkan pengunjung dan Sahabat yang hadir membeli barangan harian pada potongan harga sebanyak 30 peratus. Turut diadakan pemilihan busana tradisional terbaik dalam kalangan Sahabat dan juga pertandingan masakan tradisi masyarakat tempatan iaitu Hinava.

Pada majlis ini juga YB Datuk Ewon turut menyatakan penghargaan dan terima kasih beliau kepada Sahabat Usahawan yang telah merancakkan ekonomi mikro di daerah berkenaan. Beliau juga mewakili kementerian, berterima kasih kepada AIM atas inisiatif penganjuran mini karnival berkenaan dan usaha-usaha berterusan yang dimainkan oleh AIM dalam membantu lebih ramai wanita khususnya yang berada di luar bandar, keluar dari kemiskinan dan berjaya melahirkan ramai usahawan kecil yang turut menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara. Selain Shamir Aziz, turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan (Operasi) Tn Haji Jani Izwandy Che Jan; Timbalan Pengarah Urusan (Kewangan), Norshahrizal Masahrin; Timbalan Pengarah Urusan (Komunikasi dan Keusahawanan) Mohammad Zulkahizam Mohamad Zuldin, serta pengurusan AIM Wilayah Sabah.

Untuk rekod, Sabah mencatatkan jumlah Sahabat Usahawan AIM paling ramai iaitu 52,680 orang, dan jumlah Sahabat Usahawan AIM bagi Cawangan Kota Belud adalah seramai 3,570. Jumlah pembiayaan yang dikeluarkan untuk wilayah Sabah dari Januari hingga Jun 2025 ialah sebanyak RM178.1 juta.