JUMAAT, 8 Januari:
Warga kerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) diseru untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik terutamanya dalam membantu Sahabat menjadi usahawan yang lebih cermerlang pada masa hadapan.
Seruan itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Bin Ukin ketika berucap menyampaikan amanat dan hala tuju AIM bagi tahun 2021.
Beliau turut menasihati warga kerja supaya menjadi pasukan kerja yang mantap di samping memberi komitment yang padu bagi menjayakan misi AIM untuk mengeluarkan lebih ramai golongan B40 keluar dari garis kemiskinan.
"Kita juga akan melihat mana-mana perkara yang perlu ditambah baik terutamanya bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan AIM kepada Sahabat menjadi lebih mudah dan berkesan," katanya.
Menurut beliau, selaku Pengerusi, beliau juga akan memulakan program turun padang sebaik pandemik Covid-19 berkurangan untuk melihat dan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada di lapangan.
Selain itu, Lajim turut mengingatkan warga kerja supaya sentiasa berpegang kepada ikrar kakitangan dalam menjalankan amanah yang diberikan.
"Mari kita berganding bahu, bekerjasama dengan kaedah-kaedah yang lebih baik pada tahun ini," katanya.
Pada majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat AIM itu, Lajim turut mengucapkan tahniah kepada AIM atas beberapa kejayaan dan anugerah yang diterima.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz, Ketua Pegawai Operasi AIM, Jani Izwandy Che Jan, Ketua Pegawai Kewangan, Norsharizal Mashahrin, Pengarah-Pengarah Bahagian dan pengurusan kanan AIM.
#amanahikhtiarmalaysia
#charitywithdignity
#sahabataim
#ourPartAIM
#bangkitkembali