Kuala Lumpur, 19 Sept - Seluruh warga kerja Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah bersama-sama menyambut Maulidur Rasul sempena memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Acara ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Bin Syed Junid serta barisan pengurusan kanan AIM.
Majlis bermula dengan alunan ayat-ayat suci Al-Quran dan bacaan doa yang memayungi setiap tetamu dengan penuh kesyukuran dan rasa tawadhu'. Dalam ucapan aluan, Tuan Haji Jani Izwandy, Timbalan Pengarah Urusan Operasi, menekankan kepentingan mencontohi nilai-nilai mulia yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dalam meneruskan usaha membasmi kemiskinan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia. Ini diikuti oleh ucapan daripada Datuk Seri Syed Hussian yang mengimbau peranan AIM dalam memperkasakan masyarakat yang kurang bernasib baik, sambil menegaskan agar warga AIM terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip akhlak yang dicontohi oleh Baginda Nabi s.a.w
Di kemuncak majlis adalah ceramah inspirasi yang disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Mohamed Khairul Anuar bin Mohd Basri dengan tajuk “Kepimpinan Strategik Baginda Rasulullah s.a.w” Ceramah ini mengupas dengan mendalam kepimpinan Baginda Nabi s.a.w yang relevan dan penting untuk dicontohi dalam menghadapi cabaran semasa.
Sambutan ini merupakan satu peringatan untuk memperkukuhkan tekad warga AIM dalam menyebarkan rahmat dan kesejahteraan kepada sesama ummah, selari dengan misi besar Amanah Ikhtiar Malaysia untuk terus memperkasa usahawan mikro dan membasmi kemiskinan.
#AmanahIkhtiarMalaysia
#SahabatUsahawanAIM
#MalaysiaMadani