Amanah Ikhtiar Malaysia
Hotline : 03 38681987 ikhtiar@aim.gov.my
Usahawan Background

 

Kembali

Bandar Sri Damansara– Sebanyak RM8.8 juta sudah disalurkan kepada 1,229 Wanita India menerusi Program Pemerkasaan Wanita India atau dikenali sebagai PENN (Prosperity, Empowerment and a New Normal for Indian Women). Jumlah itu direkodkan bermula dari ia dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Yang Berhormat Dato’ Ramanan Ramakrishnan pada 13 April lalu hingga 17 Julai 2024.

 

Menerusi program PENN ini, sebanyak RM50 juta diperuntukkan oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bagi membolehkan wanita India membuat pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan atau dalam usaha membesarkan perniagaan sedia ada mereka. Sehingga hari ini, sambutan yang diterima untuk PENN amat menggalakkan dan ia dijangka akan terus memberi manfaat kepada 10,200 wanita India dari seluruh negara.

 

Sementara itu, Perak mencatatkan jumlah pinjaman PENN paling tinggi setakat ini, dengan pembiayaan yang telah disalurkan sebanyak RM3.3 juta, diikuti Selangor/Kuala Lumpur sebanyak RM1.8 juta dan Negeri Sembilan/Melaka sebanyak RM1.3 juta.

 

Ramanan dalam ucapannya sempena Majlis Penyerahan Pembiayaan PENN kepada Sahabat Usahawan AIM berkata, lebih ramai wanita India dijangka akan mendapat manfaat menerusi program ini dan ia sekali gus dapat memperkasa Wanita India terutamanya dalam bidang perniagaan mikro atau perniagaan kecil-kecilan.

 

PENN juga dilancarkan sebagai satu langkah untuk memajukan, memperkasakan dan menggemilangkan Wanita India di negara ini seiring dengan GAGASAN MALAYSIA MADANI. Beliau turut menggalakkan golongan muda supaya menceburi bidang keusahawanan memandangkan banyak bantuan dan peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan, khususnya menerusi agensi-agensi di bawah KUSKOP.

 

Hadir sama pada Majlis Penyerahan Pembiayaan PENN yang dibuat di ibu pejabat Amanah Ikhtiar Malaysia ialah, Pengerusi Lembaga AIM, Dato’ Seri Syed Hussian Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz.

 

#AmanahIkhtiarMalaysia

#MalaysiaMadani

#SahabatUsahawanAIM