KUALA LUMPUR - Hari ini, berlangsungnya Taklimat Program Pembiayaan Mikro Zakat Alliance Islamic Bank (AIS) di Menara Amanah Ikhtiar. Program ini dihadiri oleh 45 Sahabat Usahawan Asnaf AIM yang terpilih dari Cawangan Kuala Selangor.
Program yang diasaskan oleh AIS ini merupakan kolaborasi strategik bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Lembaga Zakat Selangor.
Dalam sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarah Pembiayaan,Perancangan & Bajet AIM Puan Rozita Muhamad@Othman yang memberi penerangan secara menyeluruh serta memberi penerangan terperinci mengenai Program Pembiayaan Mikro Zakat AIS.
Objektif utama taklimat ini adalah untuk mempromosikan Program Pembiayaan Mikro Zakat AIS kepada usahawan mikro asnaf AIM yang terpilih. Ini diimbangi dengan pendedahan mendalam mengenai prosedur dan garis panduan program, memberi keyakinan kepada peserta dalam memahami potensi dan manfaat yang boleh diperoleh. Melalui langkah ini, AIS bertekad untuk merapatkan jurang pembiayaan dalam kalangan usahawan mikro asnaf dan memberikan dorongan kepada pertumbuhan ekonomi mikro di kalangan komuniti berpendapatan rendah.
Program Pembiayaan Mikro Zakat AIS menjadi tonggak penting dalam inisiatif pembangunan ekonomi mikro dan memperkasakan golongan asnaf. Dengan melibatkan AIM dan Lembaga Zakat Selangor sebagai rakan strategik, AIS membuktikan komitmen mereka dalam membantu masyarakat dalam usaha keluar daripada kepompong kemiskinan. Program ini turut dilihat sebagai langkah positif dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat di kalangan sektor korporat dan agensi kerajaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi mikro di Malaysia.
Turut hadir dalam taklimat ini termasuk Ketua Pegawai Kewangan AIM, Norsharizal bin Mashahrin dan Ketua Syariah AlS, Shidek Nazaran.