Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat pengiktirafan di peringkat dunia apabila dipilih sebagai penerima anugerah Global Islamic Finance Award 2022 bagi kategori Institusi Kewangan Mikro Terbaik.
Anugerah berkenaan disampaikan kepada Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz oleh Perdana Menteri Djibouti, H.E Abdoulkader Kamil Mohamed sambil disaksikan oleh Presiden Republik Djibouti, H.E. Ismail Omar Gulleh.
Majlis yang diadakan di Istana Kempinski Djibouti pada 14 September lalu, turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi AIM, Tn Haji Jani Izwandy Che Jan, dan En Mazri Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad.
Ia juga turut dihadiri Gabenor Bank Negara Djibouti, Gabenor Bank Negara Morocoo serta ketua-ketua agensi penerima anugerah lain dari seluruh dunia.
Shamir dalam ucapannya semasa menerima anugerah berkenaan berkata, pengiktirafan ini membuktikan bahawa tumpuan AIM bukan sahaja untuk memperkasakan komuniti yang layak dalam meningkatkan taraf hidup mereka, tetapi juga untuk mempamerkan peranan penting AIM dalam meningkatkan pertumbuhan keusahawanan di negara ini.
Katanya, AIM juga akan terus komited untuk menjadi sebahagian daripada ekosistem bagi memulihkan kestabilan ekonomi negara supaya tiada sesiapa yang akan merasa terpinggir.
Untuk rekod anuegrah ini merupakan anugerah kali ke 7 AIM menerimanya.
Tahniah untuk seluruh keluarga besar AIM