YB Baling Menjadi Penaung Kelab Usahawan Ikhtiar Baling

Baling, 10 Oktober 2015 - bertempat di Dewan Masjid Tok Bandar, Pulai telah berlangsung Seminar dan Pelancaran Kelab Usahawan Ikhtiar Baling. 

Sebelum pelancaran kelab, agenda perkongsian pengalaman dalam bidang usahawan telah disampaikan oleh En. Abdul Latif daripada AZLA Management Sdn Bhd dan Datuk Zainuri Mohd Zain, Pengasas NURIZ Cosmetic. 

Seminar dan Pelancaran Kelab Usahawan Ikhtiar Baling telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Panglima Hj. Abdul Azeez Abdul Rahim, Ahli Parlimen Baling. Kelab Usahawan ini ditubuhkan bertujuan untuk membantu Sahabat meningkatkan sumber pendapatan melalui jaringan dan usaha sama semua Sahabat di Daerah Baling terutamanya. Dengan kehadiran Sahabat melebihi 300 orang memeriahkan majlis ini, menampakkan sokongan kuat Sahabat-sahabat AIM Cawangan Baling terhadap usaha yang dilakukan AIM khususnya dan pihak kerajaan secara amnya. 

Dalam ucapan perasmian, beliau merasa berbesar hati atas perlantikan beliau sebagai penaung kelab ini. Beliau menyokong penuh hasrat penubuhan kelab usahawan ini, kerana boleh merancakkan ekonomi setempat terutamanya di kawasan Parlimen Baling. Kemuncak perasmian, YB Dato’ Seri Panglima Hj. Abdul Azeez mengumumkan persetujuan menyumbang dana permulaan sebanyak RM20,000 kepada Kelab Usahawan Ikhtiar Baling sebagai modal permulaan menjalankan aktiviti menjana ekonomi dan penambahan ahli kelab di kalangan Sahabat. 

Beliau turut menyarankan agar kelab mewujudkan jawatankuasa dan biro-biro bagi merancakkan aktiviti kelab. Pada akhir majlis, YB Dato’ bersama-sama Pengurus Wilayah Kedah Selatan, Puan Salina Jaafar dan kakitangan cawangan berkunjung ke gerai-gerai pameran dan jualan produk Sahabat.

Teks dan foto : Sidek Abd Razak   

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: