Wang Serahan Sahabat AIM Disamun

KEMAMAN - "Tengok penyamun tu libas parang panjang, saya duduk terketar-ketar sambil peluk kakak saya," kata Rosmawati Mat, 46, saksi kejadian samun bersenjata yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM8,500 dalam kejadian di Meraga Beris, Kijal, di sini.

Kejadian itu berlaku ketika seramai 50 sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Meraga Beris sedang melakukan bayaran balik mingguan pembiayaan AIM di Bangunan Kumpulan Pengembangan Wanita (KPW) Meraga Beris kira-kira jam 10.30 pagi semalam.

Rosmawati berkata, dia bersama 49 sahabat AIM lain serta seorang pegawai AIM tergamam selepas secara tiba-tiba seorang lelaki yang memegang sebilah parang panjang menerpa masuk ke dalam bangunan tempat mereka berkumpul.

"Waktu itu pegawai AIM sedang kumpulkan duit yang kami bayar. Di dalam bangunan itu ketika kejadian semuanya wanita.

"Sejurus lelaki itu masuk sambil libas parang panjang ke atas, ramai kawan-kawan saya jerit 'ALLAHUAKHBAR!' berulang kali sebab terlalu terkejut kerana secara tiba-tiba lelaki itu muncul," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui.

Begitupun, katanya, lelaki yang bertubuh kurus, tinggi dan berkulit sawa matang yang memakai topi keledar bercermin serta menutup mulut dengan kain itu langsung tidak bersuara.

Menurut Rosmawati, suspek yang menyarung jaket itu hanya melibas-libas parang panjang yang dipegang sambil satu lagi tangannya merampas tiga buah beg tangan mengandungi wang tunai.

"Kejadian berlaku sangat cepat. Ia berlaku dalam tempoh beberapa minit saja. Lepas rampas beg, dia segera keluar dari bangunan. Rupa-rupanya di luar bangunan ada kawannya sedang menanti di atas motosikal.

"Motosikal itu kemudiannya memecut laju menuju ke arah Kijal. Tubuh penunggang motosikal itu lebih kecil berbanding yang pegang parang. Walaupun kejadian ini sangat menakutkan tapi saya bersyukur kerana tak ada antara kami yang dicederakan," katanya yang masih kelihatan trauma.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan menerima laporan berhubung kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

 

Sumber: Sinar Harian 12 APRIL 2016

Wartawan: Raiham Mohd Sanusi

 

 

Keratan akhbar Utusan 13 April 2016: