Wajah-Wajah Baru Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Kebangsaan Sesi 2013/ 2015

Disediakan oleh: Mohamad Aizuddin Sabarudin

Bertempat di PNB Ilham Resort, Port Dickson, seramai 48 orang Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Kebangsaan telah hadir membawa wawasan masing-masing untuk meneruskan kesinambungan kepimpinan Sahabat dalam menyokong hala tuju AIM yang lebih mapan.

Mesyuarat yang bermula pada 2 September 2013 dan berakhir pada 5 September 2013 ini juga menampilkan wajah-wajah baru yang mana Sahabat yang hadir merupakan perwakilan yang telah diberi kepercayaan dan dilantik bagi menerajui Sesi Perwakilan 2013/ 2015.

Sesi mesyuarat pada kali ini dipenuhi dengan aktiviti seperti sesi suai kenal (Ta’aruf), perbahasan usul, persidangan mesyuarat dan bengkel kepimpinan LPS. Pada hari pertama persidangan, sesi perbahasan usul di antara LPS telah diadakan bagi membincangkan usul-usul yang akan dibawa semasa sesi persidangan utama.

Persidangan utama pada hari kedua dibuka tirai dengan ucapan oleh YBhg. Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM. Beliau mengalu-alukan kehadiran YH. Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga AIM, barisan pengurusan serta semua perwakilan yang hadir. Seterusnya, sesi suai kenal (Ta’aruf) juga telah diadakan di antara pengurusan AIM dan barisan perwakilan.

Perasmian mesyuarat telah disempurnakan oleh YH. Dato’ Amihamzah Ahmad. Dalam ucaptama, beliau menyeru agar semua perwakilan yang dilantik mempunyai cita-cita dan wawasan dalam memacu kepimpinan LPS. Beliau turut menekankan bahawa komponen utama yang terdapat dalam AIM iaitu Barisan Lembaga, Kakitangan dan Sahabat perlu bergerak selari bagi memastikan visi dan misi AIM dapat dicapai.

Selain itu, beliau juga menyentuh berkenaan inisiatif-inisiatif transformasi yang sedang dan dalam pelaksanaan di antaranya penwujudan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KoopSAHABAT). Selaras dengan penubuhan KoopSAHABAT, beliau menggalakkan LPS untuk bergiat aktif dalam aktiviti koperasi dan bersama-sama menggerak serta menyebarluas KoopSAHABAT kepada Sahabat AIM di seluruh Malaysia. Selain memberi tambahan pendapatan kepada Sahabat dalam bentuk dividen, dengan adanya KoopSAHABAT ia akan menjadi pemangkin kepada penceburan aktiviti-aktiviti ekonomi serta penwujudan produk dan perkhidmatan yang mampu meningkatkan kesejahteraan Sahabat.

Pada sidang mesyuarat kali ini, sesi undian juga telah dilaksanakan bagi memilih pucuk pimpinan perwakilan. Hasil undian, seramai empat (4) orang LPS telah diamanahkan untuk memegang jawatan berikut:-
   Ketua LPS - Puan Saidatul Shaari (Wilayah Perak)
   Timbalan Ketua LPS - Puan Zalina Norddin (Wilayah Tengah)
   Setiausaha - Puan Azizah Harun (Wilayah Pahang)
   Bendahari - Puan Sarimah Md. Yunus (Wilayah Terengganu)

Kakitangan dan perwakilan juga turut disuntik dengan pengisian rohani yang telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Mejar Zulkifli bin Abdullah Sani daripada Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) selepas solat maghrib.

Serentak dengan kemeriahan suasana bulan Syawal, sesi mesyuarat kali ini juga turut diwarnai dengan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang telah diadakan pada sebelah malam.  Majlis ini diserikan dengan kehadiran YBhg. Datuk Hajah Zabidah Ismail, Pengarah Urusan AIM. Dalam ucapannya, beliau mengambil kesempatan merakamkan ucapan tahniah kepada Sahabat yang telah diberi amanah dan kepercayaan bagi menerajui LPS Kebangsaan sesi 2013/ 2015. Seterusnya, beliau juga turut berbesar hati menyempurnakan majlis penyerahan watikah pelantikan kepada barisan LPS Kebangsaan.

Dalam sesi persidangan hari ketiga, Sahabat LPS telah didedahkan dengan bengkel berkenaan Peranan dan Tanggungjawab LPS serta aktiviti gerak kerja berkumpulan sebagai latihan dalam mempersiapkan diri Sahabat LPS dalam mengharungi tugasan yang lebih mencabar.

Persidangan LPS sesi 2013/ 2015 telah melabuhkan tirainya pada 5 September 2013. Semoga apa jua pengalaman dan pengajaran yang diperolehi sepanjang tempoh tiga (3) hari persidangan dapat dimanfaatkan oleh setiap Sahabat dalam memacu kepimpinan Sahabat pada masa hadapan.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: