SIRI PERTAMA MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADAN AL-MUBARAK 1435H, CAWANGAN BENTONG, PAHANG.

Bentong
Bagi menghidupkan bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini, AIM telah menganjurkan Majlis Penyerahan Sumbangan sempena bulan Ramadhan bertempat di Dewan Anggerik, Rumah Rehat Bentong, Pahang. Penganjuran ini melibatkan kerjasama antara Unit Komunikasi Korporat (UKK), Unit Zakat, Wakaf dan Infaq (UZWI), Zon Tengah, Wilayah Pahang dan Cawangan Bentong. Program ini merupakan siri pertama daripada tiga siri program yang diaturkan melalui penganjuran bersama unit di ibu pejabat dan warga kerja lapangan.

Seramai 100 orang penerima sumbangan telah dihimpunkan yang terdiri daripada golongan fakir, miskin, dan ibu tunggal majoritinya dipilih daripada kalangan Sahabat-sahabat AIM sendiri. Selain daripada sumbangan UZWI melalui tabung infaqnya berjumlah RM10,000 untuk diagihkan dalam bentuk tunai kepada penerima sumbangan, pihak penganjur program juga turut berbesar hati menerima sumbangan individu antaranya daripada Pengerusi Lembaga AIM sendiri yang telah menyumbangkan kurma. Selain itu juga,Sahabat-sahabat AIM turut bermurah hati menyumbangkan barang keperluan asas seperti beras, gula, teh bagi menjayakan majlis ini.

Majlis penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Zubir Harun, Pengerusi Lembaga AIM. Dalam ucapan, beliau menekankan bahawa disiplin kredit adalah merupakan perkara asas dalam memastikan kelangsungan AIM pada masa hadapan. Beliau juga turut memuji prestasi Sahabat Cawangan Bentong kerana kebanyakan blok operasinya mencapai 100% kadar bayar balik.

Majlis juga turut dihadiri oleh Encik Yaacob Omar, Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan, Encik Faizal Noor Laiman, Ketua Zon Tengah, Encik Azmi Sharif, Pengurus Pembangunan Ekosistem, Encik Hashim Rajimun, Pengurus Wilayah Pahang, Encik Shahfizan Hamdan,Penolong Pengurus Wilayah Pahang, Puan Amalina Abdul Rahman, Pengurus Cawangan Bentong, dan beberapa wakil Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK) Daerah Bentong.

Setelah majlis penyerahan sumbangan melabuhkan tirainya di dewan, tetamu kehormat yang hadir turut dibawa mengunjungi rumah dua orang penerima yang uzur iaitu di Lebu dan Jalan KL Lama. Kunjungan yang pertama di rumah Sahabat Nurul Syahidaani Binti Hassan yang menghidap penyakit buah pinggang.Semasa kunjungan ke rumah beliau, beliau berada dalam keadaan kesihatan yang tidak stabil.

Seterusnya, kunjungan AIM diteruskan lagi ke rumah Sahabat yang terletak di Taman Kilat, Jalan KL Lama. Sahabat Rafeah Binti Kisor ,terpaksa menjaga suami yang terlantar tenat akibat deman kuning yang kritikal. Melihat keadaanya yang terbaring membuatkan kami berasa sangat sedih. Sebelum kunjungan kami pulang, Dr.Zubir sempat memberikan kata-kata semangat kepada sahabat agar sentiasa sabar dan tabah dalam menghadapi cabaran ini.

Semoga dengan penyerahan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban penerima untuk mereka memenuhi tuntutan ibadah sepanjang bulan Ramadhan dan seterusnya memberi sinar kepada mereka dalam menghadapi Syawal yang bakal menjelang.

Teks oleh: Mohd Yazid Bin Zainudin / Gambar oleh: Gafur Majid

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: