SIRI AKHIR MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN SEMPENA BULAN RAMADAN AL-MUBARAK 1435H, CAWANGAN PUCHONG, SELANGOR

IMG 0425
Dewan Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya telah menjadi lokasi akhir dalam siri Majlis Penyerahan Sumbangan sempena bulan Ramadhan Al-Mubarak 1435H anjuran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Penganjuran program pada kali ini bukan sahaja mendapat kerjasama antara unit di ibu pejabat dan warga kerja lapangan, bahkan turut mendapat sokongan dan kerjasama daripada UMNO Bahagian Kelana Jaya.

Majlis ini juga turut berjaya menghimpunkan jumlah penerima yang lebih besar iaitu penerima sumbangan telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu 100 orang penerima sumbangan AIM, 100 orang penerima awam sumbangan khas UMNO Bahagian Kelana Jaya, dan 50 orang penerima daripada warga pengurusan masjid dan surau hasil sumbangan Tabung Kebajikan UMNO Bahagian Kelana Jaya. Penerima telah menerima sumbangan berbentuk wang tunai, hamper makanan dan barangan keperluan asas.

Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Haji Yusoff HM Haniff, Ahli Lembaga AIM merangkap Ketua Bahagian UMNO Kelana Jaya. Majlis ini turut dihadiri oleh Encik Norsharizal Mashahrin, Pengarah Urusan AIM, YBhg. Datuk Haji Abdul Halim, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kelana Jaya, Encik Yaacob Omar, Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan, Encik Faizal Noor Laiman, Ketua Zon Tengah, Encik Azmi Sharif, Pengurus Pembangunan Ekosistem, Encik Muhamad Nasri Hamidi, Pengurus Wilayah Kuala Lumpur dan Selangor, Encik Abdul Rahman Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Puan Norshakella Hashim, Pengurus Cawangan Puchong, barisan kepimpinan UMNO Kelana Jaya, dan wakil pemimpin tempatan.

Dalam ucapan YBhg. Datuk Haji Yusoff, beliau telah menekankan kelebihan AIM berbanding institusi lain. Menurut beliau, AIM bukan sahaja sebuah institusi yang menyediakan kredit secara kecil-kecilan tetapi turut menyediakan latihan dan bimbingan kepada Sahabat-sahabat. Justeru, beliau menggalakkan masyarakat khususnya di Kelana Jaya memanfaatkan peluang yang telah diberikan oleh AIM untuk meningkatkan pendapatan dan ekonomi keluarga masing-masing. Beliau juga turut menekankan bahawa masyarakat khususnya di Kelana Jaya perlu terus meningkatkan ukhwah bagi melahirkan masyarakat yang kukuh dan bersatu padu dalam apa jua perkara. Di akhir ucapan, beliau berharap agar bantuan yang dihulurkan pada hari ini dapat memberikan sinar mempersiapkan keluarga meraikan Syawal yang bakal menjelang.

Majlis kemudiannya disusuli dengan lawatan ke dua buah rumah penerima yang terdiri daripada golongan yang uzur yang tinggal di sekitar Puchong. Kedua-dua penerima ini merupakan ibu kepada Sahabat AIM cawangan Puchong yang menghidap penyakit angin ahmar. Mereka menerima sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas.

Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga penerima dan dimanfaatkan sebaiknya. Pihak AIM amat berbesar hati dapat menghulurkan sedikit bantuan kepada para Sahabat yang memerlukan tambah-tambah lagi di bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini. Galeri

Teks oleh: Aizuddin Sabarudin & Nurul Izwanie Hashim / Gambar oleh: Sidek Abd Razak