Seminar Peluang dan Jaringan Perniagaan Selangor dan Kuala Lumpur 2015


14 Februari 2015: Selaras dengan objektif mewujudkan komuniti Sahabat menjadi usahawan yang lebih berdaya saing, program Seminar Peluang dan Jaringan Perniagaan Selangor dan Kuala Lumpur telah dianjurkan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Seminar ini anjuran bersama Unit Komunikasi Korporat, Zon Tengah serta Wilayah Selangor/ Kuala Lumpur Utara dan Selatan. Sebanyak 4 slot ceramah dan motivasi telah diatur melibatkan penyertaan syarikat Zul Design, Sahabat Usahawan daripada Cawangan Kepong dan Ampang, serta taklimat dari Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat). Turut dibuka 24 kaunter pameran dan jualan oleh Sahabat, Zul Design, Kolej Komuniti, dan agensi berkaitan.

Majlis perasmian seminar telah disempurnakan oleh YB Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kewangan. Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dr. Zubir Harun, Pengerusi Lembaga AIM dan YBhg. Datuk Hj. Yusoff HM Haniff, Ahli Lembaga AIM. Hadir sama pengurusan AIM iaitu Encik Norsharizal Mashahrin, Pengarah Urusan AIM, Encik Yaacob Omar, Pengarah Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan, Encik Faizal Noor Laiman, Ketua Pegawai Operasi Zon Tengah, dan pihak pengurusan Wilayah Selangor/ KL Utara dan Selatan.

YB Datuk Ahmad Maslan dalam ucapannya memuji peranan yang telah dilaksanakan oleh AIM dalam membantu usaha kerajaan membasmi kemiskinan. Daripada RM1.194 bilion yang telah disalurkan oleh pihak Kerajaan dalam bentuk pinjaman dan geran, AIM telah berjaya membuat pusingan dana tersebut sehingga menjadikan pembiayaan terkumpul yang telah dimanfaatkan kepada lebih 350,000 Sahabat berjumlah RM11.72 bilion. Dalam majlis ini, beliau juga turut berbesar hati menyampaikan Anugerah Sahabat Usahawan kepada 13 orang penerima mewakili setiap cawangan Wilayah Selangor/ KL.

Majlis penutupan seminar telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Noh Omar, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor. Beliau menyatakan sokongan penuh kepada inisiatif AIM dalam mewujudkan Kelab Usahawan dan Sukarelawan di kalangan Sahabat sebagai medium ke arah melaksanakan pelbagai aktiviti ekonomi dan kemasyarakatan. Sebagai tanda sokongan, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 bagi setiap penubuhan kelab di negeri Selangor.

Seminar ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada Sahabat sekitar negeri Selangor dan Kuala Lumpur dengan kehadiran berjumlah lebih 2,000 orang. Semoga dengan penganjuran seminar ini dapat membangkitkan semangat dan memberikan motivasi kepada Sahabat untuk terus bergiat aktif dalam dunia keusahawanan.

Disediakan oleh : Mohamad Aizuddin Sabarudin
Gambar oleh  : Sidek Abd Razak