Seminar Keusahawanan dan Perasmian Kelab Usahawan Ikhtiar Permatang Pauh

Pada 28 April 2015, Amanah Ikhtiar Malaysia Wilayah Kedah Selatan telah mengadakan Seminar Keusahawanan dan Perasmian Kelab Usahawan Ikhtiar di Dewan Besar UiTM Pulau Pinang, Permatang Pauh. Seminar Keusahawanan ini menghimpunkan seramai 900 Sahabat. Pada pukul 9 pagi, seminar dimulakan dengan ceramah motivasi dan keusahawanan yang disampaikan oleh pemilik perniagaan berjaya Jari Emas Mobile Spa, Putu McBamboo Enterprise dan Rozlee Satay. Seminar turut memberikan peluang kepada Sahabat, Bank Rakyat dan Koperasi Sahabat membuka kaunter jualan dan pameran kepada para pengunjung.

Majlis telah dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Beliau diiringi Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Kementerian Dalam Negeri, Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya serta Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman. Turut sama hadir Pengerusi Lembaga AIM, Dr Zubir Harun, ahli Lembaga AIM, Datuk Haji Yusuff HM Haniff, Pengarah Bahagian Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan, Encik Yaacob Omar dan Ketua Pegawai Operasi Zon Utara, Encik Che Mahdi Idris.

Dalam ucapannya, YAB Timbalan Perdana Menteri menyatakan sekali lagi sokongan Kerajaan melantik AIM sebagai salah satu agen pembasmi kemiskinan dalam negara kerana hasil positif telahpun dapat dilihat dan dicapai sepanjang penubuhan AIM. Beliau turut menyokong penubuhan Kelab Usahawan Ikhtiar yang boleh mewujudkan jaringan perniagaan yang lebih besar serta menggerakkan pertumbuhan kadar ekonomi komuniti setempat. Pihak AIM berterima kasih kepada YAB Timbalan Perdana Menteri kerana sudi menyumbangkan dana untuk kegunaan Kelab Usahawan Ikhtiar Cawangan Permatang Pauh.

Dalam majlis ini juga, pihak cawangan telah menyampaikan Anugerah Sahabat Usahawan 2015 kepada 10 orang Sahabat sekitar Permatang Pauh dan Bukit Mertajam. Berikut senarai penerima anugerah:
Gowree a/p Supparayan
Hamidah Abdul Razak
Ismayati Ismail
Mazanah Samsudin
Norazilah Mohd Noor
Norizan Ishak
Rohayu Mohamad Salleh
Saniah Don
Siti Norazila Ab Raji
Siti Zorah Ibrahim

Seminar berakhir pada pukul 5 petang. Pihak AIM berharap penganjuran seminar ini akan memperluaskan hubungan kerjasama antara Sahabat, memperkasakan usahawan dan meningkatkan motivasi Sahabat melalui perkongsian idea keusahawanan.  

Berita dan gambar oleh: UKK Media