Seminar Keusahawanan dan Pembangunan Halal Pulau Pinang 2013

Disediakan oleh: Nurul Izwanie Hashim

Unit Pembangunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang, Majlis Amanah Rakyat (MARA) Pulau Pinang, Pusat Transformasi Komuniti Universiti Putra Malaysia dan Institut Pembangunan Pengurusan Johor (IPPJ) telah mengadakan “Seminar Keusahawanan dan Pembangunan Halal 2013” bertempat di Dewan Mutiara, Kompleks Tabung Haji, Pulau Pinang pada 23 Oktober 2013 (18 Zulhijjah 1434H).

Objektif utama seminar ini adalah untuk menyuntik kesedaran ke dalam diri para peniaga Muslim supaya mementingkan pemasaran produk-produk yang berstatus halal. Selain itu, seminar yang dianjurkan ini menjadi satu wahana untuk melontarkan persoalan, bertukar pandangan, berkongsi masalah serta mencari jalan penyelesaiannya di antara para sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dengan pakar-pakar yang dilantik dan bertauliah.

Secara tidak langsung, usaha sebegini akan dapat membantu sahabat-sahabat serta para pengguna mengetahui dengan lebih lanjut maklumat-maklumat semasa berkaitan persoalan halal dan haram sesuatu produk. Usaha ini mampu memberi impak yang lebih berkesan memandangkan segala maklumat dikongsi secara terus dan telus tanpa melibatkan orang tengah. Justeru, ia dapat mengelakkan daripada timbulnya sebarang salah faham atau tidak puas hati.

Seminar tersebut diadakan bermula 8.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 5.00 petang dengan pembentangan lima kertas kerja daripada pelbagai agensi tempatan. Antara topik hangat yang dibentangkan adalah seperti:
•    Konsep Halalan Toyyiba dan 7 Prinsip Halal;
•    Keberkatan Bisnes Dengan Berwakaf;
•    Mensucikan Harta Melalui Zakat;
•    Aplikasi Halal Dalam Industri – Perkongsian Pengalaman; dan
•    Kemudahan Pembiayaan MARA Dalam Pembangunan Industri Halal.

Seminar dirasmikan oleh Pengarah Urusan AIM, Datuk Hajah Zabidah Ismail, manakala penutupannya pula disempurnakan oleh Pengarah MARA Negeri Pulau Pinang, Encik Yahaya Sani. Turut hadir memeriahkan majlis adalah 300 orang peserta termasuk sahabat AIM daripada tujuh cawangan berdekatan.
{gallery}seminarhalalpulaupinang{/gallery}

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: