Seminar Kecemerlangan Keusahawanan Ke Arah Menjana Pendapatan Tinggi Anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM)

Pada 30 November 2013 (26 Muharam 1435H), Amanah Ikhtiar Malaysia telah dijemput menyertai seminar ‘Kecemerlangan Keusahawanan Ke Arah Menjana Pendapatan Tinggi’ anjuran Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bertempat di Dewan Mahligai, Hotel Singgahsana, Petaling Jaya.

Majlis dirasmikan oleh YB Senator Datuk Seri Wira Mohd Ali Rustam, Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB). Turut hadir memeriahkan majlis adalah YBhg Datuk Jamelah Abu Bakar, Pengerusi Biro Wanita dan Pembangunan Keluarga PEMADAM dan YBhg Tan Sri Mohd Najib bin Abdul Aziz, Timbalan Yang Dipertua PEMADAM.

Objektif seminar ini sejajar dengan kempen “Hidup Penuh Erti” yang menjadi teras gerakan program Pendidikan Pencegahan Dadah PEMADAM di seluruh negara. Seminar ini menghimpunkan seramai 300 usahawan seluruh negara di mana hampir separuh hadirin merupakan Sahabat AIM yang datang dari serata Malaysia.

Para peserta telah mendengar penerangan dari para penceramah termasuk Datin Seri Noorhayati Kassim, Pengarah Urusan L12 Ventures Sdn. Bhd., Dr Harikrishnan Thiagarajah dari Nu Skin Enterprise, Encik Abdul Malik Abdullah, Bekas Pengerusi Persatuan Franchise Malaysia, Datuk Hjh Kamliah Abdul Halim, Pengasas dan Pengarah Urusan RZAC Cosmetics, Sharizal Dato’ Baharudin, seorang usahawan muda dalam sektor pemborongan dari China dan Korea, dan Datuk Dr Shimi Sumathi Muthu Kunju, Presiden Malaysia Business Chambers di Vietnam. Turut memberikan taklimat khas usahawan adalah wakil-wakil daripada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Encik Rosli Abdul dari AIM sendiri.

Seminar ini turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Maznah Hamid, seorang usahawan dan pakar motivasi terkenal dan Encik Nazrey Johani, seorang penyanyi nasyid yang berkolaborasi dengan L12 Ventures Sdn. Bhd.

Para peserta telah berpeluang melawat pameran usahawan tempatan yang mempamerkan produk-produk kesihatan dari Nu Skin stem cell dan Kopi Ranggi keluaran L12 Ventures (kopi 3-dalam-1 campuran guarano dan susu kambing), kain pasang, alat solek RZAC Cosmetics dan kiosk-kiosk penerangan MARA, PUNB, TEKUN dan AIM.

Majlis diakhiri jam 6 petang dengan ucapan penutup daripada YB Dato’ Wira Mohd Johari Baharum, Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: