RM300 Juta Diperuntukkan Kepada Amanah Ikhtiar Malaysia

Disediakan oleh: Nurul Izwanie Hashim

SHAH ALAM 14 Sept. – Kerajaan memperuntukkan tambahan dana kepada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM 300 juta untuk tempoh lima tahun. Sejajar dengan berita baik ini, bilangan sahabat  AIM, yang majoritinya wanita, disasarkan meningkat daripada 350,000 kepada 500,000 orang pada 2015 kelak.

Pengumuman ini dibuat oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera 2013 pada 14 September 2013 yang lalu. Menurut Datuk Seri Najib Tun Razak, fokus pemerkasaan keempat ini bertujuan memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan bumiputera. Pengumuman ini bukan sahaja menggembirakan pihak AIM, malahan memberikan harapan yang lebih terbuka kepada kaum bumiputera lain yang ingin mendapatkan modal melalui AIM bagi menjalankan sesuatu projek ekonomi.

Pada umumnya, terdapat lima agenda yang diumumkan dalam majlis yang diadakan di Dewan Agong Tunku Canselor, Universiti Teknologi Mara , Shah Alam. Antara empat fokus yang lain ialah mendaya modal insan bumiputera, memantapkan pemilikan ekuiti bumiputera dalam sektor korporat, memperkukuh pemilikan asset bukan kewangan bumiputera dan memantapkan ekosistem penyampaian perkhidmatan.

Sejak merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi Melayu dan bumiputera oleh pihak kerajaan telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk. Secara prinsipnya, perkara dan amalan ini telah diterima pakai sebagai satu kontrak sosial sejak sekian lama oleh seluruh rakyat Malaysia.

Oleh itu, hak Melayu dan Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional tidak boleh dinafikan sesiapa. Perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan baik oleh semua pihak bagi mengelakkan sebarang prasangka atau salah faham.

Sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja orang Melayu dan bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.

Secaranya toleransinya, pemerkasaan bumiputera ini dilakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baru dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Sememangnya peranan AIM amat penting dalam mengatasi isu akses kepada dana pembiayaan bagi usahawan kecil dan sederhana di samping menjana bilangan usahawan yang lebih ramai termasuk di Sabah dan Sarawak. Langkah ini dilihat sebagai suatu perkhabaran yang diharapkan menjadi pengimbang sosioekonomi secara adil dan saksama di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. 

Turut hadir pada majlis rasmi ini adalah pihak pengurusan AIM yang terdiri daripada Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga, serta Dr. Zubir Harun dan Datuk Hajah Zabidah Ismail. Selain itu, seramai 400 sahabat dan kakitangan menghadirkan diri bagi memeriahkan majlis.

{gallery}memperkasakanekonomibumiputera{/gallery}

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: