RETREAT PENGURUSAN KANAN (Mendukung Visi dan Misi)

‘Keuntungan Penggerak Pertumbuhan Organisasi’

Melaka Bandaraya Bersejarah dijadikan destinasi untuk program Retreat Pengurusan Kanan yang kedua tahun ini. Bertempat di Hotel Avilion Legacy Melaka pada 22 hingga 24 Mac 2014, program ini dihadiri oleh pengurusan tertinggi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), ketua-ketua zon dan wilayah. Program ini dianggap sebagai ‘finale’ atau kemuncak kepada program-program retreat yang diadakan sebelum ini.

Pengarah Urusan AIM, En Norsharizal Mashahrin dalam ucapan pembukaannya mengharapkan komitmen yang berterusan dari pihak pengurusan zon dan wilayah, memandangkan banyak peruntukan tambahan diberikan pada tahun ini yang tidak termasuk dalam perancangan bajet asal. Ini untuk memastikan pemantapan organisasi dan keuntungan dapat dicapai. Dalam masa yang sama juga diharapkan agar ‘Janji Ditepati’ dari pihak wilayah dengan melaksanakan komitmen yang diberikan dalam retreat yang diadakan di wilayah masing-masing sebelum ini.

Menurut Pengerusi Lembaga AIM, Dr Zubir Harun, program retreat seperti ini merupakan penghargaan kepada kepimpinan zon. Program ini merupakan pendekatan baru untuk memastikan pemulihan, pemantapan dan seterusnya pengembangan dapat dilaksanakan dengan efektif. Pengurusan wilayah juga berada dalam radar pengurusan tertinggi agar pemantauan dapat dibuat dengan cepat dan berkesan. Dr Zubir juga mengharapkan perhubungan yang efektif antara semua kakitangan.

Dalam ucapan penutupnya, beliau berharap segala keputusan yang telah dicapai bersama dalam program-program retreat ini dapat diterima di setiap lapisan kakitangan bagi memantapkan dan mempercepatkan proses pengembangan. Pengurusan juga diharap dapat meningkatkan ilmu masing-masing supaya dapat mengamalkan budaya kerja yang berkualiti.

Diharap program-program retreat yang diadakan dapat memberikan suntikan semangat dan motivasi baru kepada kakitangan yang terlibat supaya dapat meneruskan program-program yang bermanfaat kepada masyarakat serta membasmi kemiskinan melalui pembiayaan bagi mengekalkan AIM sebagai peneraju institusi kewangan mikro Islam terunggul.
{gallery alignment=center}RetreatPengurusanAIMMelaka{/gallery}
sediakan oleh: Gafur Majid