Retreat MIIM 2014

Malaysian Institute of Islamic Microfinance (MIIM) ditubuhkan untuk merealisasikan usaha AIM dalam meningkatkan keupayaan diri kakitangan, sahabat dan generasi kedua serta orang awam. MIIM ini akan bergerak dengan gabungan mantap antara CED, CPIM, CRDI dan Jabatan Pendaftar yang dijangka mampu merealisasikan hasrat untuk menjayakan ekosistem AIM. MIIM diketuai oleh Hajah Mazanah Abdul Ghani selaku Pengarah MIIM manakala unit terpenting di MIIM ialah Jabatan Pendaftar yang diketuai oleh Pengurus Kanan, Puan Rohana Mahamud. Jabatan Pendaftar MIIM bertanggungjawab dalam urusan pengendalian pendaftaran, peperiksaan, pengijazahan dan lain-lain berkaitan hal ehwal akademik dan pelajar, pemasaran, perhubungan awam, pentadbiran dan kewangan.

CED atau Center for Entrepreneurship Development bertanggungjawab dalam membimbing komuniti untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan serta menggalakkan pembangunan usahawan yang tulen dan berdaya maju. CED ini merupakan penjenamaan semula bagi Unit Pembangunan Usahawan yang diterajui oleh Encik Ruslan Muhamad. Pusat Latihan AIM pula dinaiktarafkan menjadi Centre for Professional Islamic Microfinance atau CPIM. CPIM berperanan sebagai pusat pengembangan dan pembangunan ilmu serta pembangunan sumber manusia melalui penyediaan latihan dan pembelajaran jangka pendek dan jangka panjang dalam bidang Kewangan Mikro Islam. CPIM diterajui oleh Tuan Haji Zaini Ahmad Bidawi yang merupakan Pengurus Kanan Latihan.


Centre for Research, Development and Innovation (CRDI) pula bertanggungjawab untuk menerokai bidang baru dalam industri yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran melalui Pusat Inkubator. CRDI sebelum ini dikenali sebagai Unit Penyelidikan dan Pembangunan (UPP) dan diterajui oleh seorang Pengurus iaitu Encik Suhaimi Abdullah.

Program Retreat MIIM 2014 telah dilaksanakan pada 5 Mac 2014 dengan dihadiri oleh 48 orang peserta dari seluruh Malaysia yang terdiri daripada Pengarah MIIM, Pengurus Kanan CED, Pengurus Kanan CPIM, Pengurus CRDI, pegawai dan eksekutif CED, CPIM dan CRDI. Objektif Retreat MIIM ini diadakan adalah sebagai ruang bagi membentangkan halatuju unit-unit di bawah MIIM, memastikan semua lapisan kakitangan memahami fokus dan keutamaan Lembaga AIM, menerima keputusan yang dibuat oleh Pengurusan Tertinggi, melaksanakan pelan yang dirancang dengan patuh berdasarkan Visi dan Misi AIM, memberi ruang kepada komunikasi dua hala dalam memahami isu dan permasalahan dengan lebih telus serta mengemukakan cadangan serta membentuk strategi dan pelan tindakan yang boleh menyelesaikan permasalahan pada tahun 2014.

Dalam ucapan dasar yang disampaikan oleh Pengerusi Lembaga AIM, YBhg. Dr. Zubir Harun menekankan bahawa MIIM merupakan institut yang penting dalam melaksanakan program latihan kepada kakitangan dan sahabat. Bagi tahun 2014 disasarkan 300,000 orang sahabat akan menyertai kursus latihan anjuran MIIM. Beliau juga meminta semua unit di bawah MIIM terutamanya CED dalam menyediakan latihan “Usahawan Make Simple” di mana kesemua modul akan direkabentuk semula menjadi modul latihan yang ringkas dan mudah difahami oleh sahabat. Penggunaan ayat-ayat mudah, gambar dan video menarik perlu diselitkan di dalam modul yang akan dibangunkan oleh MIIM. Di samping itu, YBhg. Dr. Zubir juga mencadangkan latihan semula kepada semua pegawai eksekutif usahawan terutamanya latihan Train the Trainer yang akan membantu proses penyampaian latihan dan penyediaan modul yang lebih berkesan.

YBhg. Dr. Zubir juga menekankan jalinan kolaborasi dengan agensi-agensi luar sangat penting dalam menjalankan latihan kepada sahabat. Kolaborasi bersama Kolej Komuniti, Jabatan Pertanian, MARA dan sebagainya bukan sahaja melibatkan kos yang rendah, malah membantu MIIM untuk menyediakan latihan yang di luar bidang kepakaran kakitangan MIIM.

Penubuhan Kelab Usahawan di setiap zon juga boleh membantu peranan MIIM sebagai self help group yang akan menjaga kebajikan sahabat-sahabat. Fungsi MIIM bukan sahaja berfokuskan kepada sahabat semata-mata, bahkan meliputi kepada ahli isirumah yang seterusnya akan mengubah landskap ekonomi negara.

Dengan ucapan dasar tersebut, kesemua unit di bawah MIIM diminta merancang semula keperluan latihan sejajar dengan hasrat Pengerusi Lembaga. Semoga program retreat ini memberi manfaat kepada semua warga kerja MIIM dalam mendokong Visi dan Misi AIM.
{gallery alignment=centre}RetreatMIIM2014{/gallery}

Teks: Salfarina Ahmad / Gambar: Sidek Abd Razak