Program Tranformasi Negara 2014: Program Kerjasama AIM dan BTN

Program Transformasi Negara 2014 merupakan program bersiri, anjuran bersama AIM dan Biro Tatanegara (BTN) melibatkan kaitangan dan sahabat di seluruh negara. Program ini bermatlamat memupuk semangat kesepakatan dan kerjasama berkumpulan yang kuat di samping menerapkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang, berkarisma dan berketerampilan.

Program ini telah berjaya dilaksanakan di empat buah lokasi iaitu di Kem BTN Ulu Sepri , Negeri Sembilan (9 – 13 April 2013), Kem BTN Kulim, Kedah (26 – 30 April 2014), Kem BTN Sampadi, Sarawak (11 – 15 Mei 2013) dan Kem Kundasang, Sabah (29 Mei – 1 Jun 2014). Jumlah keseluruhan peserta yang menyertai program ini adalah seramai 429, melibatkan kakitangan AIM dari pelbagai peringkat.

Secara umumnya, program akan dimulai dengan Sesi Ucapan Pembukaan oleh Pengarah Urusan (Kem BTN, Ulu Sepri dan Kem BTN, Kulim), Ketua Zon (Kem BTN Sampadi dan Kem BTN Kundasang). Sesi seterusnya adalah Slot Ceramah bertajuk Gagasan Malaysia mengenai Sejarah Perundangan Kerajaan Negeri, isu-isu kuasa perundangan, perlembagaan persekutuan, hak mengundi rakyat dan kuasa perundangan. Peserta seterusnya didedahkan dengan isu-isu jatidiri dan kesedaran tentang kepentingan perpaduan dalam mempertahankan negaradi samping menyentuh tentang perlunya minda dan sikap yang positif dalam menghadapi cabaran semasa.

Sesi selanjutnya adalah aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) seperti Takruf, Team Player, Kembara Obstacle, Hak & Tanggungjawab dan Smart Tunnel. Semua peserta telah memberikan kerjasama dan komitment yang tinggi menerusi penyertaan yang aktif di dalam setiap sesi perbincangan dan pembentangan. Program ini turut dilengkapi dengan aktiviti riadah seperti senam robik dan berkawad. Satu pertandingan Gerak Wira ataupun Tarian Perang secara berkumpulan juga diadakan di mana peserta dilatih secara intensif dengan bantuan Jurulatih-Jurulatih Kem.

Program ini telah diakhiri dengan sesi Ucapan Penutup oleh Pengerusi Lembaga AIM (Kem BTN Kulim), Pengarah Urusan (Kem BTN Sampadi) dan Pengarah MIIM (Kem BTN Ulu Sepri dan Kem BTN Kundasang). Semoga program seumpama ini akan dapat melahirkan kakitangan yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang terunggul, mampan dan berdaya saing dalam menghadapi segala bentuk cabaran serta halangan yang mendatang demi memastikan matlamat dan objektif AIM dapat dicapai dengan jayanya. Siri-siri program kerjasama yang seterusnya pula akan melibatkan kepimpinan sahabat-sahabat di semua negeri yang dijangkakan akan dilaksanakan pada bulan Ogos 2014.

Teks oleh: Hafia Norsha Shareh