Program Retreat Wilayah Terengganu 2014 (Pelan Pemantapan dan Pengembangan Mendukung Visi dan Misi AIM)

“Kelip-kelip ku sangka api,
kalau api mana abunya,
pejam celik tunggakan dah tinggi,
ayuh bersatu cari jalannya..”

Wilayah Terengganu menjadi wilayah yang keempat (4) program retreat diadakan pada tahun ini. Program yang diadakan di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu itu bermula dari 6 hingga 8 Mac 2014. Cawangan-cawangan yang terlibat adalah Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, Kemaman, Kuala Terengganu, Kuala Terengganu 2 dan PKMB Kuala Terengganu.

Retreat ini bertujuan memastikan semua lapisan kakitangan memahami fokus dan keutamaan operasi serta matlamat AIM pada 2014 selain mengenalpasti isu dan membuat perancangan dengan lebih efektif. Dalam ucapan pembukaan Pemangku Pengarah Urusan AIM, En Norsharizal Mashahrin berkata, kakitangan AIM wilayah Terengganu perlu memanfaatkan program retreat ini demi kebaikan bersama. Beliau juga menerangkan mengenai perancangan dan perbelanjaan AIM untuk tahun 2014.

Manakala bagi Pengerusi Lembaga AIM Dr Zubir Harun pula, memberi penekanan kepada perubahan yang perlu dilakukan oleh kakitangan bagi memastikan kelangsungan AIM. Beliau mengingatkan kakitangan supaya mendalami dan memperbanyakkan ilmu bagi memperkasa peribadi dalam mengharungi cabaran semasa. Seperti di wilayah lain juga, Dr Zubir mengharapkan setiap wilayah dan cawangan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk kebaikan bersama.

Dengan adanya program-program seperti ini dapat memantapkan operasi serta memastikan kerjasama yang utuh antara kakitangan dengan pengurusan, bagi memastikan AIM terus menjadi sebuah instituisi yang unggul dalam membantu golongan miskin.
{gallery alignment=center}retreatterengganu{/gallery}
Teks dan Gambar Oleh: Abdul Gafur Abd Majid