Perlancaran I-Usahawan Oleh Koperasi Sahabat

Oleh : Saipul Nizam Mat

IMG 0129
Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat) memperkenalkan pembiayaan I-Usahawan yang menawarkan ciri-ciri menarik kepada anggotanya yang terdiri daripada Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Majlis perlancaran produk tersebut telah diadakan pada 17 September 2013 bertempat di Ibu Pejabat AIM. Jumlah dana yang dikhaskan untuk tujuan tersebut adalah sebanyak RM50 juta.

Datuk Dr A. Manaf Husin, Bendahari Eksekutif Koperasi Sahabat merangkap ahli Lembaga AIM di dalam ucapannya berkata produk pembiayaan ini menggunakan konsep syariah di bawah Kontrak Tawarruq atau Murabahah Komoditi. Antara ciri menarik produk pembiayaan ini adalah kadar keuntungannya pada kadar rata iaitu 8% dengan jumlah pembiayaan dari RM51,000.00 hingga RM300,000.00.

Peminjam akan membuat bayaran secara bulanan dengan tempoh pembiayaan di antara 6 bulan hingga 5 tahun. Cara pembayaran balik pembiayaan tidak dibuat secara tunai di Mesyuarat Pusat tetapi melalui kaedah bayaran secara Mobile Banking, Cash Deposit (kaunter atau mesin ATM) dan perbankan online.

Di dalam ucapan perasmian, Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga AIM menjelaskan produk ini dapat dilaksanakan dengan jayanya disebabkan dengan tertubuhnya Koperasi Sahabat ini. Malahan produk pembiayaan ini amat ditunggu-tunggu oleh Sahabat AIM terutama yang telah bertaraf usahawan berjaya. Di dalam ucapannya juga beliau turut memaklumkan bahawa jumlah ahli koperasi Sahabat telah mencecah lebih 320,000 orang dengan nilai saham terkumpul sebanyak RM290 juta.

Majlis yang turut dihadiri oleh Pengarah Urusan AIM, Datuk Zabidah Ismail, Ahli Lembaga AIM, Dr. Zubir Harun serta Hajah Normi Nordin. Pada majlis itu turut diadakan Majlis Memorandum Persefahaman antara Koperasi Sahabat dan AIM bagi kerjasama strategik untuk menawarkan pembiayaan mikro kepada seluruh Sahabat AIM.

Dengan perlancaran produk I-Usahawan ini, diharapkan dapat memperhebatkan keusahawanan dan perniagaan serta meningkatkan taraf sosioekonomi anggotanya.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: