Penyerahan Misi Bantuan Mangsa Banjir AIM

Bencana banjir yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada penghujung Disember 2014 mendapat perhatian pelbagai pihak. Banjir yang menenggelamkan negeri-negeri ini bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda bahkan lebih buruk menutup punca rezeki bagi ahli keluarga yang terlibat.

Musibah ini telah melanda negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Pahang dan sebahagian kawasan di Perak, Perlis, Kedah serta Sabah. Umumnya mengetahui negeri Kelantan merupakan negeri yang terjejas teruk apabila semua daerah jajahan ditenggelami air dan disifatkan musibah banjir 2014 adalah yang terburuk.

Dalam kesibukan pelbagai pihak, agensi, sukarelawan melaksanakan bantuan kemanusiaan, AIM tidak terkecuali menghulurkan sumbangan misi bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir. Bertempat di Pejabat Cawangan Pasir Pekan pada 7 Januari 2015, YBhg Dr. Zubir Harun, Pengerusi Lembaga AIM telah berbesar hati menyampaikan sumbangan kepada 30 orang Sahabat yang mewakili pusat operasi AIM.

Turut sama dalam majlis penyerahan ini ialah Datuk Dr. A Manaf Hussin, Timbalan Pengerusi Lembaga AIM merangkap Pengerusi Lembaga Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi SAHABAT), Encik Roslan Pakon, Pengurus Wilayah Kelantan Utara, Encik Yaacob Omar, Pengarah Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan serta Encik Said Muhamad Khalil Abdul Madza, Pengarah Perkhidmatan Sumber Manusia & Pentadbiran.

AIM Cawangan Pasir Pekan mempunyai 2,900 lebih Sahabat, 59% daripada jumlah ini terlibat dalam banjir. Cawangan ini disokong oleh 15 orang tenaga kerja dan 11 orang daripadanya juga menjadi mangsa banjir. YBhg Dr. Zubir dalam ucapannya menyeru wakil-wakil Sahabat dan warga kerja yang ditimpa musibah banjir ini untuk bersabar dan redha dengan ujian getir ini.

Beliau mencadangkan agar Sahabat-sahabat yang menjadi mangsa banjir ini tampil berbincang dengan pihak cawangan dan memberi maklumat tepat mengenai kerugian yang dialami. Perbincangan ini sangat bermanfaat untuk AIM merancang agenda yang sesuai bagi meringankan masalah ini terutamanya isu bayaran balik pembiayaan.

Dr. Zubir juga memutuskan bayaran balik pembiayaan ditangguhkan sehingga keadaan pulih apabila Sahabat dapat menjalankan perniagaan semula. Bayar balik pembiayaan turut dilonggarkan dan mengikut situasi Sahabat-sahabat. Beliau juga menyeru Sahabat-sahabat membuat Penjadualan Balik Pembiayaan (PJS) agar Sahabat-sahabat tidak terbeban. Keputusan ini amat melegakan hati Sahabat.  Dr. Zubir turut mendoakan Sahabat-sahabat untuk segera bangun dan membina kehidupan yang lebih baik daripada sebelum ini.

YBhg Pengerusi Lembaga AIM tidak melepaskan peluang melawat dan merasai sendiri pengalaman di beberapa rumah Sahabat yang menjadi mangsa banjir. Rumah Sahabat Hamidah Daud, 55 tahun di Kampung Tepi Sg. Tendong dan Sahabat Che Fauziah Abd Hamid, 47 tahun di Kg Pasir Pekan Hilir. Atas dasar prihatin, Pengerusi Lembaga AIM juga akan berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan, badan-badan korporat dan agensi-agensi lain demi membantu Sahabat-sahabat yang ditimpa musibah ini.

Penyerahan Misi Bantuan Mangsa Banjir AIM ini turut diadakan di Pejabat AIM Cawangan Tumpat pada sebelah petangnya. Cawangan yang mempunyai 13 orang kakitangan dan 3,300 orang Sahabat tidak terkecuali menjadi mangsa banjir. Perbezaan antara satu dan yang lain adalah situasi teruk dan sederhana teruk.

Misi Bantuan Mangsa Banjir Aim ini merupakan penyerahan sumbangan yang dikumpul daripada Tabung Bencana Banjir AIM yang dilancarkan dari 26 Disember 2014 hingga 31 januari 2015. Tabung ini mengumpulkan sumbangan tunai, pakaian, makanan dan keperluan asas daripada sumbangan kakitangan, Sahabat-sahabat dan orang awam seluruh negara. 

Melihat kesusahan yang dialami oleh Sahabat-sahabat yang menjadi mangsa banjir, Dr. Zubir Harun memanjangkan agenda lawatannya ke kawasan perumahan Taman Ten di Tanah Merah. Mata yang menyaksikan kemusnahan harta benda dan projek perniagaan tidak dapat dibayangkan dengan kesusahan yang ditanggung oleh Sahabat-sahabat.

Semoga catatan perjalanan mangsa-mangsa banjir terutama sahabat-sahabat AIM memberi input-input kepada pihak pengurusan dalam mencorakkan bantuan dan program yang bersesuaian kepada mereka. Bagi kita yang terselamat , bermuhasabah diri dan memanjatkan kesyukuran kepada-Nya serta sentiasa berdoa untuk Sahabat-sahabat mangsa banjir.Galeri

Berita: Noraini Hussin
Gambar: Gafur / Suziani