Pengarah Urusan AIM ke Lokasi Bencana di Pantai Timur

5 hingga 7 Januari 2015, bencana banjir yang telah berlaku di Negeri Kelantan telah menjadi tumpuan pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan swasta serta badan-badan NGO untuk turun padang bagi  menghulurkan bantuan sumbangan keperluan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) juga turut mengambil bahagian dalam menyalurkan bantuan sumbangan berbentuk barangan keperluan asas bagi meringankan bebanan terutamanya kepada Sahabat-sahabat AIM yang terlibat.

Pengarah Urusan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), En. Norsharizal Mashahrin bersama Ketua Pegawai Operasi Zon Timur, Puan Nor Zawiyah Ahmad, Pengurus Wilayah Kelantan Selatan, Puan Noriah Md Nor dan beberapa kakitangan Zon Timur serta kakitangan AIM Cawangan Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah telah melawat ke kawasan yang terlibat dalam bencana banjir yang berlaku di Kelantan terutamanya di kawasan Dabong, Jelawang, Pemberian, Karangan, Kuala Krai, Manik Urai, Machang dan Tanah Merah.

Pengarah Urusan AIM, melahirkan rasa simpati dengan keadaan Sahabat-sahabat yang majoritinya terlibat dalam bencana ini. Beliau juga merasa terharu dalam situasi begini, Sahabat-sahabat masih menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pembayaran balik pembiayaan.

Di kesempatan ini, Pengarah Urusan AIM  berpeluang berkongsi kesedihan dengan sahabat-sahabat dan menjelaskan bahawa pembayaran balik pembiayaan ditangguhkan seperti kenyataan media YBhg Dr. Zubir Harun, Pengerusi Lembaga AIM baru-baru ini.

Beliau juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap penyakit berjangkit yang bakal menular ekoran daripada kesan bencana ini. Justeru itu, Sahabat perlu mengambil berat mengenai isu kesihatan. Galeri
Foto / Gambar: Sidek Razak