Pelancaran Kelab Usahawan Ikhtiar Bersama MB Kedah

IMG 0302
Bertempat di Dewan UMNO Jerlun, Kedah pada 20 Jun 2014, telah berlangsungnya Majlis Pelancaran Kelab Usahawan Ikhtiar Ayer Hitam dan Jerlun, AIM Cawangan Kubang Pasu. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri  Haji Mukhriz Bin Tun Dr. Mahathir.

Majlis ini turut diserikan lagi dengan slot ceramah motivasi oleh tokoh motivasi tersohor, Datuk Maznah Binti Abdul Hamid.  Majlis pelancaran ini telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi Lembaga AIM, Dr. Zubir Harun. Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa terharu atas kesudian Dato’ Seri  Haji Mukhriz merasmikan majlis tersebut. Beliau turut melahirkan rasa bangga dengan sokongan Sahabat-sahabat  AIM Cawangan Kubang Pasu yang hadir dalam majlis pelancaran tersebut.

Sementara itu, Y.A.B. Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri  Haji Mukhriz dalam ucapannya, menyatakan rasa sangat berbesar hati dan berbangga atas pelancaran kelab usahawan yang dapat mengumpulkan semua usahawan dari segenap daerah seperti di Ayer Hitam dan Jerlun. Y.A.B Menteri Besar juga menyatakan rasa terhutang budi kepada pihak AIM kerana telah banyak membantu rakyat negeri Kedah untuk meningkatkan ekonomi mereka melalui pinjaman yang disediakan.

Beliau akan memberi sokongan penuh terhadap penubuhan kelab ini kerana kelab ini dapat membantu meningkatkan jaringan ekonomi Sahabat AIM di Negeri Kedah khususnya dan orang Melayu secara amnya. Beliau turut berharap agar kelab ini dapat ditubuhkan di seluruh negeri Kedah.

Majlis ini telah diakhiri dengan lawatan Y.A.B Menteri Besar ke gerai-gerai Sahabat yang dibuka di perkarangan dewan tersebut. Beliau berkesempatan membuat kuih karas iaitu kuih tradisional di gerai Sahabat. Kehadiran beliau dalam merasmikan dan beramah mesra dengan Sahabat-sahabat AIM Ayer Hitam serta Jerlun itu memberi kenangan yang bermakna bagi semua Sahabat yang hadir. Galeri

Teks oleh: Mohd Yazid Zainudin