Mobile CTC Jeli di Sambut Meriah

Disediakan oleh: Suziani Rani

6 JULAI 2013 SABTU
Bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan Batu Melintang, Jeli, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyertai Program Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau lebih dikenali sebagai Mobile CTC. Program yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan ini telah berlangsung selama dua hari bermula pada 5 Julai 2013 dan berakhir pada 6 Julai 2013.

Perkhidmatan Mobile CTC ini merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Kewangan bertujuan memberikan perkhidmatan yang diperlukan kepada penduduk luar bandar serta komuniti pedalaman dalam mempamerkan kesungguhan pihak kerajaan menyampaikan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat.

Mobile CTC diadakan dengan harapan dapat membawa transformasi sosial kepada rakyat demi kesejahteraan negara. Ia merangkumi lima komponen utama antaranya menyediakan perkhidmatan memberi penerangan serta kesedaran kepada rakyat mengenai dasar, program dan aktiviti kerajaan melalui kementerian dan agensi kerajaan.

Program ini telah dirasmikan oleh Datuk Seri Mustapha Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Dalam ucapan perasmiannya, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada jabatan dan agensi yang terlibat dalam menjayakan program Mobile CTC di Jeli pada kali ini.

Datuk Seri Mustapha Mohamed meluangkan masa melawat tapak pameran AIM Mobile CTC di Batu Melintang merupakan lokasi ke-15 dan yang pertama diadakan di Kelantan sejak ia dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang pada 1 Mac lepas.

AIM merupakan salah satu agensi yang sentiasa turut serta dalam roadshow Mobile CTC yang dianjurkan oleh Kementerian Kewangan ini untuk menyampaikan maklumat berkaitan perkhidmatan yang ditawarkan oleh AIM kepada orang ramai. Antara perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuklah membuat atau menggantikan MyKad, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan mata dan pemberian percuma cermin mata, khidmat nasihat keusahawanan, Pasar Bergerak 1Malaysia selain pameran oleh jabatan dan agensi kerajaan.