Misi Bantuan Mangsa Banjir Wilayah Pahang & Terengganu

Pada 16 hingga 18 Januari 2015, pasukan khas Misi Bantuan Banjir AIM telah ke negeri Pahang dan Terengganu untuk mengagihkan barang bantuan mangsa banjir. Pasukan ini membawa kira-kira 1,300 pek sumbangan ke cawangan-cawangan Maran, Kuantan (PKMB), Kuantan SPI, Pekan dan Kemaman.

Pada hari Jumaat, seramai 72 orang Sahabat di cawangan Maran telah menerima barang bantuan banjir dari AIM di Dewan Orang Ramai Kampung Luit, Maran. Kesan banjir masih kelihatan di sekitar dewan, termasuk kerosakan pada buku-buku yang disimpan di perpustakaan desa bersebelahan dewan. Pengerusi Lembaga AIM, YBhg Dr. Zubir Harun telah sudi menyampaikan barang bantuan. Turut sama hadir Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat dan Kesejahteraan, En. Yaacob Omar; Ketua Zon Tengah, En. Faizal Noor Laiman; Pengurus Wilayah Pahang Timur, En. Hishamuddin Sulaiman; Penolong Pengurus Wilayah, En. Shahfizan Hamdan dan Pengurus Cawangan Maran, Cik Nurazlina Abd Kadir.

Seperti dalam lawatan terdahulu, Dr. Zubir telah meminta semua Sahabat supaya bersabar dan turut mendoakan keadaan akan pulih secepat mungkin kerana memahami keperluan Sahabat untuk meneruskan kehidupan. Beberapa orang Sahabat yang tinggal sekitar Dewan Orang Ramai Kampung Luit menceritakan detik cemas paras air naik setinggi 5 kaki dalam masa yang  sangat singkat. Dewan tempat agihan turut menjadi pusat pemindahan banjir sementara untuk penduduk sekitar selama seminggu.

Pada hari Sabtu, pasukan khas telah pergi ke tiga lagi cawangan di Pahang. Jumlah Sahabat yang terlibat di dalam bencana banjir di cawangan-cawangan ini seramai 480 orang. Hari kedua bermula di cawangan Kuantan (PKMB) di Dewan Belia 4B, Indera Mahkota 1 pada jam 10 pagi. Jumlah penerima di sini kira-kira 110 orang Sahabat. Turut sama hadir Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, YH Dato’ Haji Mustaffa Kamal Ab Hamid dan Penolong Pengurus Cawangan Kuantan (PKMB), Pn. Tuan Haazan Tuan Yusof serta kakitangan cawangan.

Selesai majlis pengagihan kira-kira 11.30 pagi, pasukan khas seterusnya ke Dewan Orang Ramai, Kg Sri Damai, untuk mengagihkan pek sumbangan kepada kira-kira 150 orang Sahabat dari cawangan Kuantan SPI. Turut serta Pengurus Cawangan Kuantan SPI, Cik Norfadila Mohd Khalil dan kakitangan cawangan. Hari kedua ini berakhir dengan majlis penyampaian di Dewan Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan pada pukul 2.30 petang. Jumlah Sahabat yang hadir kira-kira 220 orang dari cawangan Pekan. Operasi di sini dibantu Pengurus Cawangan Pekan, En. Mohd. Hazrul Naquib Abd Yazid serta kakitangan cawangan.

Pada hari terakhir misi, pasukan khas telah pergi ke Dewan Sivik Air Putih, Kemaman. Majlis bermula kira-kira 12 tengahari. Di sini, lebih kurang 350 orang Sahabat telah berkumpul untuk menerima bantuan. Majlis turut diserikan dengan kehadiran ADUN Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, diiringi Pengurus Wilayah Kelantan, En. Saad Ishak; Pengurus Wilayah Terengganu, Pn. Rozita Awang dan Pengurus Cawangan Kemaman, En Muhammad Yuri Zainun.

Di kesemua majlis penyampaian, Dr. Zubir menekankan bahawa AIM sangat faham dengan situasi yang dihadapi Sahabat. Dr. Zubir turut memberikan jaminan akan terus membantu semua Sahabat dengan penangguhan bayar balik pembiayaan, serta akan menghubungi pihak kerajaan dan badan-badan korporat sekitar kesemua cawangan untuk mendapatkan bantuan tambahan bagi meringankan beban Sahabat.Galeri

Laporan oleh Irmi Hasnurshila Abu Hassan dan Mohamad Aizuddin Sabarudin
Gambar oleh Gafur Abd Majid dan Shazuani Mohammed Jarik