MAJLIS SAMBUTAN ULANG TAHUN KEDUA KELAB USAHAWAN SAHABAT AMANAH IKHTIAR DAERAH SELAMA (KUSAIDS)

 

 
 
Oleh : Mohamad Aizuddin Sabarudin

 

15 April 2017 – Bertempat di Dewan Semai Bakti, Felda Ijok, Selama telah berlangsungnya majlis Sambutan Ulang Tahun Kedua Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Daerah Selama (KUSAIDS).

 

Majlis yang merupakan anjuran KUSAIDS dengan kerjasama AIM Cawangan Selama ini diadakan sebagai memperluaskan hubungan kerjasama di antara Sahabat AIM dan pemimpin selain mengukuhkan ikatan silaturrahim sesama Sahabat. Majlis yang menghimpunkan seramai 800 orang Sahabat ini turut diwarnai dengan ceramah bertajuk ‘Ketika Tirai Rezeki Terbuka’ yang disampaikan oleh Ustazah Maudah binti Ali (Ustazah Cinta), taklimat produk daripada AIM K Beauty (anak syarikat AIM Sdn. Bhd.) dan pelancaran program ‘1 Sahabat 1 Pokok’.

 

Perasmian majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Faizul Arby bin Mohd Shohor, Ketua UMNO Bahagian Larut merangkap Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan. Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Dr. Zubir Harun, Pengerusi Eksekutif AIM, En. Yaacob Omar, Pengarah Perhubungan Korporat dan Kesejahteraan AIM, En. Che Mahdi Idris, Ketua Pegawai Operasi AIM Zon Utara serta kepimpinan AIM di peringkat Wilayah dan Cawangan.

 

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Haji Faizul Arby memuji disiplin kredit yang ditunjukkan oleh Sahabat-sahabat AIM Cawangan Selama yang telah berjaya mencatatkan 100% kadar pembayaran balik pinjaman. Beliau yang hadir bagi mewakili YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan turut mengumumkan peruntukan awal berjumlah RM5,000 untuk KUSAIDS sebagai dana untuk menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kebajikan ahli-ahlinya.