MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI AIM 1436H


30 Julai 2015, Dengan tema “Raikan Bersama Dengan Penuh Kesyukuran”, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri AIM 1436H telah diadakan bertempat di perkarangan Menara Amanah Ikhtiar, Bandar Sri Damansara. Majlis yang merupakan anjuran Unit Komunikasi Korporat dengan penglibatan semua unit di ibu pejabat ini turut mendapat kerjasama dan penajaan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KOOPSAHABAT), Amanah Ikhtiar Malaysia Sdn. Bhd. (AIMSB) dan Koperasi AIM Berhad (KAIMB).

Seramai 700 hadirin yang terdiri daripada kakitangan dan jemputan luar telah hadir bagi memeriahkan sambutan ini. Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dr. Zubir Harun, Pengerusi Lembaga AIM, YBhg. Datuk Abu Hassan b. L.Din Al-Hafiz, Pengerusi Panel Penasihat Syariah AIM, barisan kepimpinan Lembaga dan Panel Penasihat Syariah AIM, mantan kepimpinan Lembaga, YH. Dato’ Amihamzah Ahmad serta pengurusan ibu pejabat AIM.

Majlis pada tahun ini turut diserikan dengan kehadiran 122 orang anak-anak yatim Pusat Jagaan Baitul Lathofah, Rumah Siti Khadijah Anak-anak Tahfiz Putera dan Asrama Darul Falah. YBhg. Dr. Zubir Harun turut berbesar hati menyampaikan duit raya hasil sumbangan Unit Zakat, Wakaf dan Infaq AIM (UZWI) kepada anak-anak yatim yang hadir.

Menggunapakai konsep seperti tahun-tahun sebelum, sebanyak 7 kiosk yang diselia oleh unit-unit di ibu pejabat telah mengambil bahagian dan 4 kiosk tambahan telah diwujudkan untuk memberi kepelbagaian variasi menu dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia. Sebanyak 13 hamper telah disediakan kepada pemenang kios dan individu pada tahun ini.

Majlis sambutan hari raya kali ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan kumpulan “Damai & Friend” dan penyanyi tersohor, Hail Amir. Turut mencuri perhatian,tetamu yang hadir dalam majlis ini ialah persembahan 2 buah lagu raya oleh anak-anak yatim dari Rumah Siti Khadijah Anak-anak Tahfiz Putera yang diiringi oleh Damai & Friend.

Semoga dengan adanya majlis sambutan seperti ini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara pihak pengurusan dan kakitangan serta semua pihak yang terlibat dalam menyokong kepada kelangsungan AIM pada hari ini; seterusnya pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Mohamad Aizuddin bin Sabarudin
Gambar oleh: Sidek Abd Razak & Abd. Gafur Abd. Majid

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: