Majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Di Klebang Beach Resort Melaka

Disediakan oleh: Mohamad Aizuddin Sabarudin

Sebagai penghargaan kepada YH. Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga AIM yang telah menabur jasa dan bakti sepanjang 12 tahun di Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di samping memperkenalkan kepimpinan baru, YBhg. Dr. Zubir Harun yang bakal menerajui AIM; Majlis Penghargaan dan Ramah Mesra bersama kakitangan dan Sahabat telah diatur di tiga (3) buah lokasi iaitu di Melaka, Terengganu dan Ibu Pejabat, Kuala Lumpur.

Merupakan destinasi pertama, Klebang Beach Resort, Melaka telah dipilih sebagai lokasi penganjuran memandangkan lokasinya yang sesuai dan berbentuk lebih santai. Diiringi dengan hembusan angin laut dan iringan ombak yang menghempas pantai, seramai 160 orang warga AIM Wilayah Selatan serta pengurusan Wilayah dan Cawangan daripada Wilayah Tengah telah hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Bagi pihak tuan rumah, Puan Intan Zunika Hussin, Ketua Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Wilayah Selatan dan Puan Suhana Romlee, Penolong Pengurus Wilayah Selatan menyampaikan ucapan bagi  mengalu-alukan kehadiran kepimpinan tertinggi AIM.
Sebagai permulaan kalam dalam menyampaikan amanat dan harapan, YBhg. Dr. Zubir Harun selaku Timbalan Pengerusi Lembaga AIM menyatakan rasa bangga beliau di atas kecemerlangan kepimpinan YH. Dato’ Amihamzah selama ini yang telah banyak menyumbang kepada kejayaan AIM. Menurut beliau lagi, kejayaan AIM selama ini ditunjangi oleh Sahabat-sahabat hasil disiplin kredit yang baik dan ianya dicorak oleh warga kerja yang komited hasil kepimpinan YH. Dato’ Amihamzah yang tiada terbilang.

Dalam menggalas cabaran mendatang, beliau akan terus memastikan barisan Lembaga AIM menerapkan prinsip-prinsip murni yang telah dicorak oleh YH. Dato’ yang mengutamakan kepentingan Sahabat dan kakitangan dalam setiap keputusan dan tindakan. Di akhir ucapan, beliau merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YH. Dato’ di atas sumbangan jasa dan bakti beliau selama ini dapat membangunkan organisasi AIM sehingga ke tahap yang disegani.

YH. Dato’ Amihamzah dalam ucapannya telah mengimbau kembali jerih payah beliau dalam memastikan pengembangan AIM yang lebih mapan seperti mana yang dinikmati pada hari ini. Di awal khidmat beliau pada tahun 2001, operasi AIM hanya dipacu oleh sekitar 953 orang kakitangan melalui 69 Cawangan dengan modal pembiayaan yang dikeluarkan berjumlah RM200 juta kepada lebih 60 ribu orang Sahabat.

Beliau bersyukur kerana dengan izin Allah S.W.T., AIM telah berjaya berkembang dengan begitu pesat di mana kini AIM telah berjaya memberikan peluang kerjaya kepada lebih 2,000 orang, pertambahan cawangan kepada 123 buah di seluruh Malaysia, jangkauan Sahabat kepada lebih 340 ribu orang dan keupayaan modal pembiayaan yang dikeluarkan meningkat 10 kali ganda iaitu kepada RM2 bilion. Selain itu, hasil pengenalan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) pada tahun 2006 telah berjaya memanfaatkan lebih 100 ribu orang Sahabat yang ditimpa musibah.

Hasil prestasi cemerlang AIM juga telah memberikan kepercayaan kepada pihak Kerajaan di mana AIM turut diberi peranan dalam melahirkan lebih ramai usahawan. Selain itu, hasil kekuatan dan kekukuhan organisasi yang dibina telah membantu melonjakkan imej Sahabat-sahabat di mata masyarakat dan diakui bahawa Sahabat-sahabat yang dilahirkan AIM telah berjaya mewujudkan anjakan paradigma dalam peningkatan taraf hidup.

Beliau turut memetik kata-kata yang pernah diungkapkan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad; “perjalanan jauh bermula dari langkah yang pertama”. Daripada ungkapan itu, beliau menekankan bahawa konsep integriti yang menjadi pegangan pada awal penubuhan AIM akan terus dipegang kerana melalui konsep tersebut AIM telah berjaya mengurus dana dengan baik dan seterusnya membantu membiayai perolehan aset serta memberikan kelebihan dalam aspek keberdikarian operasi.

Justeru, dengan nilai-nilai murni yang telah dibina dengan kukuh, beliau menyeru agar ukhwah di kalangan Sahabat-sahabat di seluruh Malaysia dapat terus diperkuatkan melalui pelaksanaan persatuan perniagaan seperti Dewan Perniagaan Sahabat Usahawan AIM dengan mengambil contoh seperti Dewan Perniagaan Melayu Malaysia. Dengan adanya persatuan seumpamanya, penyatuan Sahabat dapat diwujudkan sekaligus dapat meningkatkan jaringan kerjasama di antara Sahabat yang mana ianya akan memberikan faedah ekonomi secara bersama.

Mengakhiri kalam, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong kepimpinan beliau selama ini dan beliau juga turut memohon maaf sekiranya terdapat apa jua kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tempoh kepimpinan beliau.

Semoga dengan amanat dan harapan yang telah disampaikan oleh YH. Dato’ Amihamzah Ahmad serta YBhg. Dr. Zubir Harun akan menjadi panduan kepada warga AIM dalam mencorak hala tuju masa depan yang lebih gemilang.

Carian Laman

Maklumat & Informasi

Logo baru AIM: