Majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Diteruskan Penganjurannya Di Cherating

Disediakan oleh: Mohamad Aizuddin Sabarudin

Penganjuran majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga diteruskan ke lokasi seterusnya di Suria Cherating Beach Resort. Majlis anjuran Wilayah Terengganu ini dihadiri oleh seramai 200 orang yang terdiri daripada warga AIM Wilayah Terengganu dan wakil pengurusan Wilayah Kelantan.

Bagi mengalu-alukan kehadiran pemimpin tertinggi AIM, Puan Sarimah Md Yunus, Ketua  Lembaga Perwakilan Sahabat (LPS) Wilayah Terengganu dan Encik Pakhruddin Hamzah, Pengurus Wilayah Terengganu telah menyampaikan ucapan selaku mewakili pihak penganjur.

Dalam menyampaikan amanat dan harapan, YBhg. Dr. Zubir Harun selaku Timbalan Pengerusi Lembaga AIM yang bakal menerajui kepimpinan tertinggi AIM berharap agar nilai-nilai murni yang telah diterapkan AIM kepada Sahabat-sahabat seperti disiplin kredit akan terus diwarisi agar pengembangan AIM dapat terus direncana dengan lebih cemerlang; bukan sahaja dikenali sebagai institusi mikro kredit yang terbilang, tetapi juga turut melebarkan sayapnya kepada bidang-bidang yang dapat meningkatkan kesejahteraan Sahabat secara keseluruhan.

Dalam visi meningkatkan kesejahteraan Sahabat, beliau akan berusaha merencanakan pelbagai inisiatif dalam menyediakan tambahan kemudahan yang dapat dimanfaatkan oleh warga AIM di mana secara tidak langsung ianya akan menyokong usaha-usaha Sahabat untuk menjadi usahawan yang berdaya saing di negara ini. Di akhir kalam, beliau merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada YH. Dato’ Amihamzah Ahmad, Pengerusi Lembaga AIM yang telah berjaya memimpin organisasi AIM sehingga menjadi sebuah institusi mikro kredit yang unggul bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di peringkat antarabangsa.

YH. Dato’ Amihamzah dalam menyampaikan amanat beliau mengharapkan agar warga AIM terus mengekalkan prinsip-prinsip yang menjadi pegangan dalam memastikan apa jua inisiatif yang direncanakan dapat dizahirkan dengan sempurna. Beliau juga menyatakan rasa bangga beliau dengan pencapaian Sahabat dalam meningkatkan taraf ekonomi masing-masing. Prinsip mengusahakan modal berbanding menerima bantuan yang dijadikan asas AIM selama ini merupakan prinsip yang berjaya menggalakkan Sahabat-sahabat untuk terus gigih berusaha sekaligus menyokong kepada kelangsungan AIM sehingga hari ini.

Beliau juga turut berpandangan bahawa Sahabat-sahabat AIM telah berjaya melonjakkan kedudukan masing-masing ke tahap yang lebih selesa berbanding sebelumnya. Dengan senario tersebut, maka ia adalah masa yang sesuai bagi AIM melaksanakan transformasi dalam memenuhi kehendak Sahabat seiring dengan keperluan semasa. Justeru, apa jua inisiatif yang direncanakan adalah sebagai batu loncatan kepada AIM dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang lebih relevan dan sesuai untuk semua peringkat Sahabat; daripada peniaga kecil kepada yang mencapai taraf usahawan.

Beliau juga turut menyeru agar AIM melihat kepada potensi penceburan dalam aktiviti-aktiviti luar bidang seperti pelancongan dan pengangkutan yang dapat mewujudkan fasiliti dan kemudahan tambahan yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh warga AIM. Menurut beliau, dengan langkah ini ia secara tidak langsung akan menyokong kepada peningkatan tahap kesetiaan warga AIM khususnya Sahabat-sahabat.

Dalam meningkatkan imej Sahabat di samping mengukuhkan lagi jaringan perniagaan dan kekuatan ukhwah di antara Sahabat, beliau turut mencadangkan agar setiap premis perniagaan milik Sahabat menggunakan logo AIM. Selain itu, dengan sasaran penubuhan Koperasi Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (KoopSAHABAT) di setiap cawangan, ia juga akan dapat mencerminkan kekuatan ekonomi warga AIM di seluruh pelusuk negara.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras dalam memastikan kejayaan AIM. Beliau juga juga turut memohon maaf sekiranya terdapat kesilapan yang telah dilakukan sepanjang tempoh 12 tahun beliau menerajui AIM.

Semoga dengan amanat dan harapan yang telah disampaikan oleh kepimpinan tertinggi AIM akan menjadi suntikan semangat kepada warga AIM dalam memastikan masa hadapan organisasi yang lebih cemerlang.