Majlis Penyerahan Sumbangan Agihan Dana Ibu Tunggal CAGAMAS-AIM

Kuala Lumpur 15 September 2015 - Bertempat di Dewan Dato Amihamzah, Menara Amanah Ikhtiar Malaysia telah berlangsungnya satu Majlis Penyerahan Sumbangan Agihan Dana Ibu Tunggal Cagamas-AIM anjuran Unit Zakat, Wakaf dan Infaq (UZWI) dengan kerjasama Wilayah Selangor/KL.

Cagamas Berhad (Cagamas), Perbadanan Cagaran Malaysia dengan kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah melaksanakan satu inisiatif dalam Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi menyokong ibu tunggal yang terdiri daripada peserta AIM. Objektif inisiatif ini adalah untuk membantu ibu tunggal mempertingkatkan kualiti dan kuantiti pengeluaran mereka supaya hasil jualan mereka dapat dipertingkatkan.

Melalui usaha CSR yang berterusan, dana yang disalurkan oleh Cagamas dapat digunakan untuk membeli peralatan perniagaan berdasarkan keperluan ibu tunggal yang terbabit. Usaha ini juga bertujuan untuk melahirkan usahawan ibu tunggal yang berdaya saing di kalangan Sahabat AIM. 

Majlis perasmian penyerahan ini telah disempurnakan oleh Dr Zubir Harun selaku Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia serta Encik Azizi Ali selaku Naib Presiden Kanan Perniagaan Islam, Cagamas Berhad.  Turut hadir dalam majlis ini adalah perwakilan dari Cagamas Berhad serta Amanah Ikhtiar Malaysia dan penerima bantuan CSR ini. 

Majlis ini telah diwarnai dengan tayangan multimedia oleh Unit Komunikasi Korporat, AIM dan disusuli pula dengan sesi penyerahan sumbangan kepada 11 penerima Ibu Tunggal Sahabat AIM. Berikut senarai nama penerima Ibu Tunggal sumbangan dana CSR Cagamas. 

Majlis ini kemudiannya diakhiri dengan sesi demonstrasi penggunaan peralatan jahitan dan mesin air batu campur. Diharapkan kerjasama ini terus terjalin dalam melahirkan usahawan yang berdaya saing di kalangan Sahabat AIM.

Teks: Azrul Mat Ros    Gambar: Gafur Majid